KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Langat mengarahkan tindakan segera oleh pihak berwajib bagi menyelesaikan isu banjir kilat dan lumpur sekitar Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor dekat sini.

Mohd Sany Hamzan, mengeluarkan arahan itu selepas melawat beberapa kawasan terjejas membabitkan kira-kira 20 rumah sekitar Taman Desa Raya dan Taman Sri Nanding di Dusun Tua, serta Jalan Nuri Batu 10, pada Isnin.

“YB (Mohd Sany) terus berhubung dengan pihak berwajib untuk diambil tindakan segera,” demikian menurut hantaran di Facebooknya.

Susulan daripada itu, pihak pejabat Parlimen Hulu Langat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Roadcare Selangor melakukan siasatan dengan meninjau kawasan sekitar.

Kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada tapak projek berhampiran.

“Semakan dibuat oleh pihak JKR dan ada kemusykilan pada lokasi projek dengan keadaan infra tidak sempurna, aliran air tidak diselenggara dan tak ikut spesifikasi ditetapkan.

“Kita akan bermesyuarat bersama JKR, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), MPKj (Majlis Perbandaran Kajang dan DO (pegawai tanah), pada Jumaat ini,” kata wakil pejabat Ahli Parlimen, Mohd Tazley menerusi siaran langsung, di akaun Facebook sama.