editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Keterujaan mencuba pelbagai menu makanan di Malaysia terpaksa dilupakan bagi memastikan kelancaran konsert D’Masiv yang berlangsung pada malam Jumaat dan Sabtu lalu.
Namun vokalisnya, Rian Ekky Pradipta tewas dengan Nasi Kandar tetapi bagi memastikan suara masih terjaga berikutan mempersembahkan puluhan lagu pada dua malam berturut-turut, Rian akur untuk tidak minum ais.
Berjaya menyelesaikan konsert dua malam berkenaan dengan sempurna, kumpulan dari Indonesia itu menarik nafas lega dengan selesainya konsert berkenaan.
Mengakui dua bulan melakukan persiapan rapi daripada segi mental dan fizikal demi konsert ini, persembahan pada malam pertama disertai penyanyi jemputan Is Pusakata dari kumpulan Payung Teduh.
Namun begitu, pada malam kedua yang sepatutnya menampilkan bekas vokalis Nidji iaitu Giring tampil membuat persembahakan tidak terlaksana apabila Giring tidak dibenarkan membuat persembahan pada saat akhir.
“Satu berita yang menyedihkan, Giring tidak dapat menyanyi bersama kami malam ini.
“Kepada Giring, izinkan D’Masiv menyanyikan lagu Nidji ya,” kata Rian sebelum mempersembahkan lagu Hapus Aku.
Walaupun tidak dapat membuat persembahan, Giring tetap hadir di dewan meraikan dan menyaksikan konsert kumpulan berkenaan.
Giring juga turut meluahkan rasa sedihnya dengan memuat naik status di sosial media mengenai perkara yang berlaku.
“Sudah tentu saya sangat sedih kerana pda minit terakhir sebelum konsert bermula, saya tidak dapat mengikuti D’masiv bernyanyi.
“Namun, saya harus mentaati peraturan yang berlaku dan kembali ke tujuan asal iaitu hadir menyokong pencapaian luar biasa D’masiv,” tulisnya.
Konsert D’Masiv 20AD To The World – Live In Kuala Lumpur berjaya menghiburkan lebih 2,000 penonton yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.
D’Masiv bakal meneruskan siri jelajah mereka seterusnya di Jakarta, Indonesia pada 1 Julai depan, diikuti Singapura pada 6 Julai.
D’Masiv juga bakal terbang ke Australia dan Amerika Syarikat untuk siri jelajah, tahun ini.
Sementara itu, penganjur, Neptunes Presents akan meneruskan projek Senandung Malam Volume 3 dengan membawa kumpulan popular Indonesia pada September ini.