editor@aatvnews.com
LANGKAWI – Pasangan pelakon, Janna Nick dan Dini Schatzmann selamat melangsungkan
pernikahan dalam satu majlis tertutup yang berlangsung pagi tadi.
Dengan sekali lafaz, Dini atau nama sebenarnya, Muhamad Dini Azan Schatzmann, 29, sah bergelar suami kepada Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 28, tepat jam 8.35 pagi.
Dini dan Janna dinikahkan oleh bapa Janna sendiri, Muner Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Othman Yahya serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri.
Dalam majlis serba indah yang berlangsung di Masjid Aisyah, Dini turut menyerahkan mas
kahwin RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.
Jumlah mas kahwin itu adalah simbolik tarikh perkenalan mereka pada 27 Mac 2019.
Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli berkenaan.
Antara rakan artis yang hadir ke majlis itu adalah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce,
Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.
Pasangan terbabit seterusnya diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung di
sebuah resort terkemuka di Langkawi.
Malam tadi berlangsung majlis doa selamat dan bacaan yassin yang turut dihadiri penceramah, Ustaz Wadi Annuar dan rakan-rakan artis serta ahli keluarga kedua-dua belah mempelai.
Mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, Dini juga teruja untuk memulakan fasa perjalanan
kehidupan baharu sebagai seorang suami dan mengharapkan agar setiap langkah mereka
melayari bahtera perkahwinan diberkati.
“Alhamdulillah, rasa terpaling bahagia, maksimum. Rasa lega jua, majlis pernikahan ini sudah selesai dan berjalan lancar. Maka bermulalah perjalanan baharu kami sebagai suami isteri.
“Kami memang merancang perkahwinan yang bersifat peribadi dan privasi. Lebih bermakna untuk keluarga kami.
“This is a once in a lifetime moment in our life. Kami mahu jadikan majlis ini sesuatu yang indah sebagai memori kami berdua,” kata Dini.
Janna dalam pada masa sama turut berkongsi perasaan gementar dan risau untuk melangkah ke alam perkahwinan.
“Ini adalah satu fasa dan langkah terbesar sepanjang 28 tahun usia saya. Mengubah status daripada single ke isteri dan Insya-Allah, seorang ibu.
“Saya juga mahukan satu majlis yang lebih dekat dengan saya sebagai Nurul Jannah. Meraikan fasa baharu saya bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan,” katanya.
Sementara itu, Dini berkata, mereka memilih lokasi berbulan madu di Koh Lipe, Thailand.
“Kami tidak sempat untuk merancang berbulan madu di destinasi lebih jauh kerana
penggambaran drama sudah bermula.
“Tetapi kesempatan bercuti ini kami pilih bercuti bersama di Koh Lipe. Ini adalah destinasi bulan madu pertama kami,” katanya.
Bercakap tentang kerjaya seni dan soal perancangan zuriat, Janna berkata, mereka bakal meneruskan kerja-kerja seni dan bersedia sekiranya dikurnia rezeki cahaya mata.
“Kita serahkan kepada Allah. Jika rezekinya awal, Alhamdulillah. Kami terbuka dan bersedia.
“Sekiranya ada rezeki, mungkin saya akan mula memperlahankan kerjaya seni dan fokus kepada perancangan keluarga,” katanya.