editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Kontroversi yang melanda anggota Sabyan Gambus, Nissa dan Ayus sedikit pun tidak mengganggu karier seni mereka.

Sebaliknya, kedua-dua mereka semakin galak merencanakan perjalanan seni dan bakal mengadakan konsert di sini tidak lama lagi.

Bakal tampil dengan konsert Sabyan Live In Malaysia yang bertemakan Alunan Puitis Cinta Ilahi, konsert anjuran Paksi Jayamas Sdn Bhd itu akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka, pada 26 Ogos ini.

“Apa yang berlaku itu tidak mengganggu kami, doakan semuanya dipermudahkan. Kami bersyukur ramai juga keluarga dan sahabat yang mendoakan kami.

“Kami juga tidak berdiam diri malah terus berkarya dan sepanjang pandemik Covid-19 yang berlaku kami aktif menghasilkan lagu.

“Insya-Allah jika tiada halangan kami bakal tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi dan jika berpeluang lagu itu akan kami persembahkan pada malam konsert nanti,” kata Nissa pada sesi sidang media pelancaran konsert berkenaan baru-baru ini.

Terdahulu, kecoh di media Indonesia apabila Nissa dikatakan menjadi punca pergolakan rumah tangga Ayus dengan isterinya sehingga mereka bercerai.

Malah ada yang mengatakan Nissa dan Ayus sudah bergelar suami isteri namun masing-masing memilih berdiam sehingga kini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persiapan konsert, Nissa berkata, mereka teruja apatah lagi ini kali pertama mengadakan konsert di Melaka.

“Alhamdulillah ini adalah konsert kali kedua kami di Malaysia dan saya tidak sabar untuk bertemu peminat.

“Malam konsert itu nanti mengangkat tema istimewa ‘Alunan Puitis Cinta Ilahi’ yang dijangkakan memberikan suatu momen indah buat penonton yang bakal hadir ke konsert.

“Setakat ini kami sudah mempersiapkan material sejak dari bulan April lagi, dengan pemilihan lagu-lagu terbaik Sabyan, beserta susunan muzik yang baharu khusus buat pengunjung konsert nanti. 

“Kami akan cuba memberikan yang terbaik sepanjang berlangsungnya konsert dengan kejutan bukan dari segi audio sahaja, bahkan visual istimewa buat mereka yang hadir pada malam konsert nanti. 

“Kami berharap mana-mana penggemar muzik berlainan genre dapat hadir di konsert ini nanti tidak kira apa juga jenis muzik yang disukai kerana muzik yang kami bawakan adalah untuk semua dan bersifat universal, semoga konsert ini nanti menjadi inspirasi yang bermanfaat buat agama Islam, bangsa dan negara,” kata Nissa.

Nissa berkata, ini kali pertama mereka akan ke Melaka dan membuatkan mereka lebih teruja apabila mendapat tahu banyak makanan yang menarik harus dicuba dan jika berpeluang masing-masing mahu merasa semua menu popular di sana.

By Cynthia

Leave a Reply