editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Menyifatkan Keroncong mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, Irama Studios bakal menganjurkan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia atas sokongan Kementerian Komunikasi Dan Digital serta Mycreative Ventures Sdn Bhd.
Lebih mengujakan persembahan penyanyi dalam Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia ini akan diiringi oleh pemuzik yang cukup berprolifik dari Orkestra Keroncong Irama Perindu.
Orkestra Keroncong Irama Perindu adalah kumpulan pemuzik yang ditubuhkan pada tahun 2004 seiring dengan penubuhan Irama Studios.
pengasas Irama Studios yang juga penganjur, Mahzan Manan berkata, penganjuran konsert ini bagi terus menyemarak dan memperkasakan irama keroncong.
“Kami mahu irama Keroncong terus diperkasa dalam era ini kerana genre ini juga mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.
“Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia juga bukan dikhususkan buat peminat tegar namun selaku penganjur kami mahu menarik minat penggemar muzik baharu untuk ikut kenal seterusnya menikmati irama Keroncong yang tidak patut dilupakan ini,” katanya.
Mahzan berharap, Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia ini akan membuka mata dan mengimbau kembali nostalgia lagu-lagu lama lewat lantunan vokal penyanyi-penyanyi hebat tanah air.
Justeru, tidak hairan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia ini dijayakan oleh penyanyi yang cukup ikonik dengan irama Keroncong iaitu Datuk Yusni Hamid.
Turut bersama Yusni, Datuk Khadijah Ibrahim akan ikut berdendang dengan Datuk Awie dan Datin Alyah.
Ini ditambah lagi dengan kehadiran pelapis-pelapis generasi baru iaitu Rasyidah Abd Rahim (Bintang Klasik 2012), Rizal Ahmad (Juara Bintang Nostalgia 2013), Jamilah Abu Bakar (Puteri keroncong) dan Han Byul.
Kemunculan Han Byul yang juga Juara Big Stage 2019 akan memberi kelainan kepada konsert ini kerana penyanyi asal Korea itu akan turut membawakan irama keroncong yang juga suatu pengalaman yang cukup baharu buat dirinya.
“Mungkin peminat sudah biasa mendengar Yusni Hamid melantunkan irama Keroncong begitu juga dengan Khadijah Ibrahim yang punya vokal merdu saat menyanyikan lagu-lagu evergreennya.
“Alyah pula punya kredibiliti tersendiri dalam menyampaikan apa juga genre lagu kerana kehebatannya bermain dengan emosi.
“Tapi untuk melihat Awie menyanyi irama Keroncong adalah satu perkara yang jarang-jarang berlaku. Semua tahu beliau sangat kental dengan irama rock dan bayangkan bagaimana Awie menyanyi Keroncong.
“Inilah yang perlu disaksikan oleh semua pada Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia yang akan berlangsung pada 5 dan 6 Ogos ini,” katanya lagi.
Bagi Alyah, kesempatan yang diberi Irama Studios untuk terbabit dalam Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia umpama sebuah penghormatan buat dirinya.
“Saya sifatkan kesempatan ini sebagai sebuah penghormatan terhadap saya, seorang penyanyi generasi masa kini yang akan berkongsi panggung dengan dua biduanita tersohor iaitu Yusni Hamid dan Khadijah Ibrahim yang amat saya segani.
“Saya berharap pembabitan saya menjayakan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia akan menambahkan ilmu buat diri sendiri serta meninggalkan kenangan manis buat semua,” katanya.
Mahzan berkata, konsert berkenaan dijangka berlangsung selama 1 jam 30 minit tanpa henti bagi memberi kepuasan kepada menonton untuk terus terbuai dengan alunan muzik keroncong yang dipersembahkan.
Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 dan 6 Ogos ini.
Tiket-tiket konsert boleh dibeli menerusi www.ilassoticket.com.my
Harga tiket bermula dari RM88, RM188, RM288, RM388 dan RM588.