editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil, lebih 10,000 peminat hadir menjadi saksi menyaksikan kehebatan ratu rock negara, Ella yang nyata masih berbisa.
Konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ yang berlangsung selama dua hari itu ‘sold out’ dalam masa 24 jam dan mereka yang hadir tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing sejak mula hingga akhir persembahan.
Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan syarikat pengurusan Ella iaitu RockQueen, Ella tampilkan menyanyikan lagu-lagu hit yang pernah menjuarai carta muzik antaranya Sembilu, Pengemis Cinta, Tiada Tangis Lagi, Kesal, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Cinta Selembut Sutera, Dua Insan Bercinta, Standing In The Eyes Of The World, Peace Love Rindu dan banyak lagi.
Sebanyak 35 buah lagu kesemuanya ia mewakili 35 tahun Ella dalam industri muzik.
Ella juga turut membuat kejutan kepada peminat apabila menampilkan Datuk Amy Search dipentas.
Mereka berduet menyanyikan lagu Dua Insan Bercinta. Sangat memukau penonton yang hadir pada malam itu.
Ella turut merakam kenangan dengan berduet bersama suaminya, Azhar Ghazali menerusi lagu Peace Love Rindu.
“Alhamdulillah, pertama sekali syukur di atas semua nikmat yang telah Allah SWT kurniakan. Kelu lidah untuk saya ungkapkan perasaan ketika ini, malam ini terpahat sebagai memori yang sememangnya manis selepas bergelar penghibur sepanjang 35 tahun dalam karier saya, saya juga teruja dengan sambutan luar biasa dari semua penonton dan peminat yang hadir.
“Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Hitman Solutions dan Rockqueen di atas penganjuran hebat dan penghargaan saya semestinya buat semua peminat yang sudi hadir ke konsert pada malam ini.
“Saya tidak akan berada di sini tanpa sokongan anda semua, yang sejak dari awal telah banyak menyokong sehinggalah ke hari ini,” katanya.
Ella berkata, ini bukan konsert terakhirnya, sebaliknya cerita mengenai konsert ini akan menjadi pelengkap jilid terakhir dalam buku yang akan dikeluarkan nanti.
“Jangan gusar dan risau, doakan agar saya dapat terus sentiasa mewarnai dunia anda selagi mana diizinkan.
“Insya-Allah, semoga kita dapat berjumpa lagi di siri konsert berlainan yang akan datang. Peace, love, rindu,” katanya.
Set up konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota telah direka khas untuk Ratu Rock, menggambarkan perjalanannya sebagai seorang artis.
Hitman Solutions mereka pentas berinspirasikan kepingan-kepingan puzzle yang dicantumkan.
Ella juga telah mencipta sejarah dan direkodkan dalam Malaysian Book of Records sebagai artis tempatan yang pertama habis menjual tiket konsert dalam tempoh 24 jam di Axiata Arena Bukit Jalil.
Ella telah menaikkan lagi nama artis tempatan dengan konsert bertaraf antarabangsa ini.