KUALA LUMPUR – Memahami selera rakyat negara ini menumpukan kepelbagaian pengetahuan sepanjang masa, stesen penyiar berteraskan islamik, TV AlHijrah, cuba mempelbagaikan kaedah untuk berasimilasi kepada media sosial.

Ini bagi memastikan stesen televisyen berkenaan sentiasa kekal relevan, dan diterima di pelbagai peringkat masyarakat dalam negara seiring kepantasan perubahan arus teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata menyedari stesen TV tidak boleh terus bergantung kepada ‘rating’ penonton semata-mata, pihaknya mencuba pelbagai kaedah termasuk asimilasi teknologi dengan mengkaji platform media sosial terkini, sejak dua tahun lalu.

“Untuk TV buat benda sama dengan media sosial, tidak menjadi tetapi kita cuba asimilasi kaedah bergerak tradisional kepada platform baharu, yang kita rasakan ia langkah baik dan akan teruskan.

“Masyarakat (tontonan) berpecah kepada ‘multiple screen’ (kaca TV dan gajet). Orang akan tengok kedua-duanya, daripada pagi sehingga malam.

“Apabila kita buat program ‘live’ di Tiktok, kaedah sebelum mengalih penonton ke TV, ia sangat mendapat tempat di hati mereka.

“Di TV barangkali ‘in depth story’ (terperinci), naratif di media sosial seperti Tiktok, FB, ia bersifat memanggil sebelah malam,” katanya TV AlHijrah kini sudah ada 500,000 pengikut di Tiktok.

Beliau berkata demikian pada sidang media Aidiladha Jemputan TV Alhijrah di Hotel Tamu & Suites di sini.

Ia bersempena rangka program tontonan khas Aidiladha antaranya Cinta Ilmu Aidiladha, Munajat Arafah, Peristiwa Haji, Gema Haflah Istimewa Aidiladha, Rehlah Ibrahim, Barakah dan Seikhlas Hati sepanjang Jun ini.

Rancangan menarik Kempen Haji 1444H juga boleh dinikmati di aplikasi AlHijrah Plus dengan 6,000 program ilmu pendidikan dan hiburan berlandaskan Islam.

Mengulas mengenai rancangan program ibadah haji kali ini, Namanzee berkata konsep yang dibawakan kali ini lebih menumpukan kepada kesepakatan dan semangat perpaduan.

“Perlunya masyarakat Islam sendiri, sebelum boleh beri penerangan kepada masyarakat bukan Islam, memahami konsep kesepakatan, menghormati dalam perbezaan pandangan,” katanya.