editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha menggalakkan orang ramai menunaikan Haji dan Umrah, Anita Bikers melalui Anita Entertainment & Productions (AEP) dengan kerjasama syarikat Al Kangsari Travel & Tours Sdn Bhd menganjurkan Kursus Intensif Haji & Umrah (Mekah & Madinah).

Program ini dianjurkan di bawah Asean Travel & Ride Ziarah Umrah Bumi Anbiya yang bakal diadakan pada 13 hingga 24 September depan.

Pengasas dan Presiden AEP, Anita Yusop berkata, pelantikan AEP /Anita Bikers berkuatkuasa dari 2023 hingga 2024, sebagai rakan strategik pemasaran jualan, penjenamaan dan promosi khas kepada syarikat pengendali Umrah dan Haji itu yang berpangkalan di Kuala Kangsar, Perak.

“Kerjasama yang dijalinkan ini memulakan siri promosi pertamanya baru- baru ini dengan menjemput secara terbuka orang ramai untuk menyertai kursus Intensif Haji dan Umrah yang dianjurkan oleh AEP / Anita Bikers Club,” katanya.

Berlangsung di Galeri Nur Raudhah, Jalan Ampang, majlis ilmu itu turut dihadiri oleh Pengarah Urusannya, Mohd Nazan Mohd Razali bersama petugas mereka.

Majlis dirasmikan oleh Pegawai Khas kepada YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Mohd Lukhman Ghani, diiringi oleh isteri beliau Datin Nora, selaku konsultant dan penasihat khas Al Kangsari Travel & Tour Sdn Bhd.

Datuk Mohd Lukhman dalam ucapannya berkata, kerjasama antara Al Kangsari Travel & Tour Sdn Bhd dengan Anita Bikers adalah satu usaha sama yang baik serta wajar diteruskan pada masa akan datang.

Jelasnya, ia adalah kerjasama bagi membawa masyarakat menunaikan umrah secara termampu dengan kadar pakej umrah biasa yang tidak membebankan masyarakat.

“Saya berharap dan berdoa agar program ini berjaya dijalankan untuk Anita memanggil lebih ramai lagi kawan-kawan serta masyarakat awam untuk menyertai program Umrah bersama Al Kangsari Travel.

“Saya yakin bahawa gabungan mantap ini akan berjaya menambahkan lagi bilangan orang yang dapat mengerjakan umrah,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa bangga dengan Anita kerana walaupun sibuk dengan program jelajah bersama Bikers, Anita masih mempunyai masa untuk membuat program berkonsep keagamaan.

“Kita jangan anggap geng-geng Bikers ini mereka travel sekadar nak bersuka-suka sahaja. Tidak semuanya begitu. Anita telah buktikan bahawa dalam bersuka pun ada juga buat program kebaikan untuk Akhirat,” katanya lagi.

Diterajui oleh seorang wanita yang sangat kental dan memiliki rangkaian bikers seluruh negara, Anita Bikers antara syarikat perusahaan hiburan dan bikers di bawah AEP telah berusaha bersama Al Kangsari Travel & Tour Sdn Bhd bagi menganjurkan program kursus yang telah mendapat sambutan yang baik dengan pembabitan penyertaan seramai 50 peserta.

Semua penunggang motosikal berkuasa tinggi di seluruh Asia di jemput menyertai Ziarah Travel Umrah & Ride di Mekah dan Madinah pada September ini.

Penyertaan dibuka kepada mereka yang berminat menyertai kembara anjuran AEP / Anita Bikers.

Okjektif acara jelajah itu diadakan adalah bagi memberi perkongsian ilmu peringkat awal dari segi fizikal dan jasmani bagi mereka yang ingin mengerjakan Haji dan Umrah, sama ada hanya untuk perkongsian ilmu atau untuk yang menyertai pakej tawaran yang istimewa oleh Al Kangsari Travel & Tour Sdn Bhd.

Antara aktiviti-aktiviti menarik yang diadakan bagi Kursus Intensif Haji dan Umrah ini adalah pengenalan dan pakej tawaran penyertaan, sesi teori berkaitan pengurusan ibadah, simulasi dan tayangan video mengerjakan Haji dan Umrah serta sesi bagaimana menghayati sirah Junjungan Nabi Muhammad SAW dengan melawat galeri Nur Raudhah selaku lokasi tajaan rasmi acara dengan menyaksikan lebih dekat pelbagai barangan artifak sejarah peninggalan Rasulullah SAW.

Pada hari pelancaran berkenaan turut menampilkan barisan selebriti tanah air seperti penyanyi popular era 70-an, Rozita Rohaizad, penerbit filem Khatijah Abu Hassan, pelakon Polis Evo 2, Shahkazen, CEO Pelancongan Malaysia, Datuk Azlie Halim dan bekas Juruhebah popular, Ritchie Rachman.

Bagi yang berminat untuk menyertai kursus jelajah yang diadakan secara percuma ini dan menyertai pakej Haji dan Umrah atau menyertai Misi Kembara Anita Bikers boleh menghubungi 0179089946 atau 0176523183.

By Cynthia

Leave a Reply