editor@aatvnews.com

PETALING JAYA – Perancangan mahu mengadakan konsert selama satu malam terpaksa dilupakan apabila sambutan luar biasa diterima memaksa penyanyi popular Indonesia, Rossa menambah konsert satu malam lagi.

Ini bermakna konsert Another Journey : The Beginning yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu akan berlangsung selama dua malam pada 13 dan 14 Julai ini.

Tidak mahu menghampakan peminat, penyanyi bernama penuh Sri Rossa Roslaina Handiyani itu akur namun dalam masa sama agak pening pada awal untuk memikirkan siapakah penyanyi undangan yang ‘free’ dijemput pada saat akhir.

“Apabila mendapat tahu tiket sudah habis terjual saya takut dan bimbang, semua orang mula marah.

“Selepas berbincang dengan penganjur, kami sepakat untuk menambah konsert satu malam lagi dan tarikh yang ada kekosongan adalah pada 13 Julai.

“Memang agak kelam kabut kerana semua keputusan dibuat dalam masa satu hari sahaja,” katanya pada sidang media konsert berkenaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rossa gembira apabila konsertnya selama dua malam itu akan disertai dengan penyanyi muda iaitu Rizky Febian dan Betrand Putra Onsu pada 13 Julai, manakala Mahalini Raharja serta bakat baharu dari Malaysia, Zareef Sein pada 14 Julai.

Katanya, Mahalini antara komposer muda yang turut memberikan sentuhan emasnya pada lagu Lupakan Cinta dalam album Another Journey: The Beginning.

“Saya sangat terharu apabila Mahalini bersetuju menjadi sebahagian daripada sejarah konsert itu nanti.

“Kemunculan Mahalini, Rizky, Betrand dan Zareef membuktikan industri muzik tidak pernah ketandusan bakat baharu yang bakal membanggakan Malaysia dan Indonesia.

“Pastinya sesuatu yang istimewa bakal kami sajikan buat semua yang hadir nanti,” katanya.

Konsert Rossa – Another Journey: The Beginning adalah siri persembahan ketiga dalam rangka Dream Festival Collaboration, selepas meraih kejayaan luar biasa menerusi konsert pertama yang menampilkan Nidji dan Budi Doremi, disusuli Wali Band bersama Floor 88 pada Dream Festival Collaboration Vol 2.

Sementara itu, Pengarah Projek Dream Collaboration, Rama Ananda Ambri atau Anda berkata, pihaknya menaruh harapan Dream Festival Collaboration Vol 3 bersama Rossa dapat menghiburkan seluruh pecinta muzik, sekali gus meninggalkan memori buat penonton yang hadir.

“Kami bersyukur kerana impian untuk mendekatkan peminat muzik dua negara serumpun terlaksana menerusi siri konsert Dream Festival Collaboration ini.

“Menerusi edisi terbaharu ini, kami memberi ruang kepada peminat Rossa untuk berkongsi emosi dan bersama-sama berhibur menerusi pilihan lagu yang pastinya meninggalkan pelbagai memori,” katanya.

By Cynthia

Leave a Reply