editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Satu demi satu kejayaan dan penghargaan terus diraih oleh kumpulan penyanyi wanita tempatan popular DOLLA.
Terbaharu kumpulan yang dianggotai empat gadis berbakat iaitu Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya ini berjaya menarik perhatian saluran YouTube tersohor dunia, MsMojo apabila saluran berkenaan menyenaraikan kumpulan DOLLA sebagai salah satu daripada 10 kumpulan nyanyian wanita antarabangsa yang harus ada dalam senarai main pencinta
muzik.
Menerusi video YouTube berkenaan, MsMojo menyenaraikan 10 kumpulan nyanyian wanita antarabangsa dari pelbagai pelusuk dunia.
Ini termasuklah Amerika Syarikat, Amerika Latin, United Kingdom, Jepun, Korea dan juga Asia Tenggara seperti Filipina dan juga Malaysia.
DOLLA diberi penghormatan menduduki tempat keenam dalam senarai cadangan itu dan juga satu-satunya kumpulan dari Malaysia yang berjaya memasuki carta.
Antara kumpulan lain yang turut tersenarai adalah kumpulan dari Jepun XG dan juga sensasi K-Pop terkini, New jeans.
Menurut saluran itu, DOLLA bukan sahaja dikenali kerana kelincahan mereka di pentas tetapi juga berkat ketularan mereka di media sosial.
Ini termasuklah kejayaan lagu ‘Raya Raya Raya’ yang berjaya mengumpul jutaan peminat seluruh dunia.
Di dunia moden hari ini yang bergerak pantas dalam alam maya, kejayaan ini semestinya sesuatu yang besar buat DOLLA.
Ini kerana saluran MsMojo di laman YouTube adalah
sebuah saluran yang sangat popular dan mengiktiraf artis-artis berbakat dari seluruh dunia serta berimpak besar dalam dunia seni hiburan.
Dengan 5 Juta pelanggan yang mengikuti saluran MsMojo, pasti jumlah pengikut kumpulan DOLLA juga akan meningkat naik tidak lama lagi.
MsMojo juga adalah salah satu saluran YouTube yang lahir dari saluran induk WatchMojo, sebuah saluran video ulung di YouTube yang berpusat di Kanada.