editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi juara memenangi eMOBIQ® Challenge 2023 dan akan bekerjasama dengan platform RMAD.

Mereka akan menyempurnakan produk dengan menambah elemen gamifikasi dan kandungan pendidikan kewangan untuk lebih berinteraksi dengan pengguna, sambil menjadikan platform lebih interaktif untuk orang ramai.

Kapten pasukan UPM, Tan Ze Han Dylan berkata, eMOBIQ® Challenge 2023 memberi banyak cabaran kepada mereka kerana perlu melaksanakan projek sambil menjalani peperiksaan akhir dan projek tahun akhir.

“Rasa bersyukur kami dapat melaksanakan pembangunan aplikasi mudah alih FinCare dalam masa kurang dari dua bulan kerana platform eMOBIQ® memerlukan masa empat hingga enam bulan untuk membina aplikasi dari asas.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan multietnik saya yang memberikan segalanya untuk jauh melangkaui kemenangan dalam pertandingan ini dan memberikan impak positif di Malaysia melalui FinCare,” katanya pada malam anugerah berkenaan.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Keusahawan dan Koperasi (MCED) Datuk Ewon Benedick dan Pengasas dan Pengarah Wilstech Sdn Bhd, Wilson Low.

Dalam pada itu, Ewon berkata, pihaknya memuji Pasukan UPM kerana memenangi pertandingan pembangunan aplikasi tanpa-kod yang pertama dan terbesar di Malaysia itu.

“Saya memuji semua peserta yang telah memberikan usaha terbaik mereka untuk mereka bentuk aplikasi mudah alih yang berfungsi dan praktikal yang dapat membawa kebaikan kepada komuniti.

“Saya kagum dengan usaha mereka dan saya berharap eMOBIQ® Challenge 2023 akan menginspirasikan lebih ramai pelajar untuk meneroka industri digital dan pembangunan aplikasi mudah alih, khususnya, sehingga kita dapat maju sebagai negara usahawan terkemuka dengan tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam teknologi yang dapat menonjol di skala global.

“Pasukan UPM melakukan kerja yang luar biasa dalam pertandingan ini dan saya gembira melihat pertumbuhan individu yang berbakat ini,” katanya.

Sementara itu, Wilson berkata, di Wilstech mereka menggunakan pengalaman dan pengetahuan yang luas untuk menawarkan solusi kepada Malaysia bagi menyesuaikan diri dengan era digital dengan cara yang paling lancar.

“Kami bercadang untuk menjadi penggerak trend dan menjadikan diri kami sebagai contoh teladan kepada organisasi tempatan untuk mengambil inisiatif seperti ini secara kolektif, supaya kita dapat berkembang bersama dan membawa kebanggaan kepada negara kita.

“Saya gembira kerana sudah melakukan tugas saya dalam memberikan perkhidmatan kepada komuniti melalui eMOBIQ® Challenge 2023, dan kami berharap akan menyelenggara program yang lebih menarik untuk memajukan tenaga kerja dan perniagaan Malaysia,” katanya.

Antara kolej dan universiti yang bertanding termasuklah Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), First City University College, Kolej Vokasional Shah Alam, LimKokWing University, Manipal International University, Management and Science University (MSU), Peninsula College, Quest International University (QIU), Raffles University, Sunway University, Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Putra Malaysia (UPM), University of Technology Malaysia (UTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), University Malaysia of Computer Science & Engineering (UNIMY), UOW Malaysia, dan Xiamen University Malaysia.

Cabaran eMOBIQ® 2023 berjaya dianjurkan dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Persatuan Teknologi Malaysia, Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Persatuan Peruncitan & Francais ASEAN (ARFF), Dewan Perniagaan Digital Malaysia (MDCC), Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM), dan Persatuan PKS Malaysia. 

Sebagai pertandingan pembangunan aplikasi tanpa kod pertama dan terbesar, eMOBIQ® Challenge 2023 dianugerahkan tiga rekod oleh Buku Rekod Malaysia – Kumpulan Peserta Terbanyak Dalam Pertandingan Pembinaan Aplikasi Tanpa Kod, Penyertaan Institusi Pengajian Tinggi Terbanyak Dalam Pertandingan Pembinaan Aplikasi Tanpa Kod, dan Hadiah Wang Tertinggi Dalam Pertandingan Pembinaan Aplikasi Tanpa Kod.

By Cynthia

Leave a Reply