editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Pernah tampil dengan tiga single sebelum ini, malah turut ditawarkan menjadi perempuan simpanan demi mengejar cita-cita sebagai penyanyi terkenal, namun semua itu sedikitpun tidak mematahkan semangat penyanyi Shatirah Amanda untuk terus berjuang.
Menyedari bakat yang ada, Shatirah atau nama sebenarnya Tengku Shatirah Amanda Tengku Ahmad Badrulddin berkata, dia tidak akan berhenti mengejar impian meskipun berdepan pelbagai ujian dan halangan.
Berkat kesabaran itu, penyanyi berusia 23 tahun ini tampil dengan single terbaharu berjudul Langit Bukan Limit.
Lagu ciptaan Mas Dewangga itu mempertaruhkan genre pop / hip hop yang juga adalah jiwa Shatirah sendiri.
“Saya yakin dengan single baharu ini kerana muzik yang dibawakan adalah datang daripada jiwa saya sendiri.
“Mungkin tiga single sebelum ini kurang mendapat sambutan kerana ia bukanlah genre yang saya suka tetapi saya mencubanya meskipun bukan lahir daripada hati.
“Menerusi Langit Bukan Limit saya menyampaikannya sepenuh hati dan berharap ia mendapat tempat dihati pendengar dan peminat,” katanya ketika ditemui pada majlis minum petang bersama media baru-baru ini.
Berkongsi mengenai lagu itu lagi, Shatirah berkata, menyedari kebanjiran ramai artis baharu sekarang ini, Langit Bukan Limit juga adalah lagu semangat dan inspirasi buat diri sendiri juga supaya terus mengejar cita-cita tanpa memikir had dan sempadan.
“Teruslah berusaha melakukan apa yang kita suka dan jadilah wanita yang penuh dengan semangat begitu juga dengan lagu ini saya berharap ia turut menjadi semangat kepada mereka yang mendengarnya,” katanya lagi.
Lagu ini sudah boleh didengar menerusi platform iTunes, Spotify, Apple Music, Youtube Music, KKBox, Tidal dan Deezer.
Untuk info, Shatirah Amanda adalah pemenang Top 5 Dewi Remaja 2020 dan bakal muncul menerusi filem seram arahan Datuk TS Jeffri berjudul ‘Marrak’ yang akan ditayangkan di pawagam pada Ogos ini.