editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Memilih tarikh 30 Jun hari ini, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil melancarkan album terbaharu beliau yang berjudul Sitism.

Album yang mengandungi 8 buah lagu ini dilancarkan secara digital terlebih dahulu sebelum kemunculan album penuh atau ‘deluxe album’ sebanyak 12 lagu di dalam format digital dan fizikal.

Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi
atau hala tuju album.

Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau ini.

Salah seorang penerbit dan komposer di dalam album Sitism iaitu Aubrey Suwito adalah individu yang kerap menggunakan Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurutnya,
apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

Siti berkata, Sitism sangat bertepatan sebagai judul album kerana selama lebih 27 tahun bergiat di dalam industri muzik, beliau sudah menghidupkan jenama Siti Nurhaliza dengan ciri beliau yang tersendiri.

Tambahnya, album Sitism adalah dirinya yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan beliau.

“Fokus Siti adalah untuk membolehkan peminat dapat mendengarkan 8 buah lagu terlebih dahulu sebelum penambahan 4 buah lagu lagi akan menjadi lebih istimewa apabila dikeluarkan di
dalam bentuk fizikal selain digital nanti,” katanya.

Selepas berjaya dengan single pertama Menjaga Cintamu yang dilancarkan pada 18 Mei lalu, menerusi album ini, Siti mempertaruhkan lagu berentak rock balada ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Rozisangdewi yang berjudul Romansa Kita.

Romansa Kita membawa tema kehebatan kisah percintaan yang berawal dengan sekadar impian namun menjadi kenyataan apabila sepasang individu menanam keyakinan untuk bersama-sama
sehingga ke akhir hayat mereka.

Selain Romansa Kita (Sharon Paul/Rozisangdewi), lain-lain lagu yang terdapat di dalam album ini ialah Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

Album Sitism diterbitkan oleh Universal Music Sdn Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd ini boleh didapati di pelantar digital bermula hari ini.

Album penuh atau album `deluxe’ dijangka akan berada di pasaran pada awal Ogos nanti.

By Cynthia

Leave a Reply