editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Setiap yang bergelar penyanyi pasti mempunyai impian untuk mengadakan konsert tidak kira berskala besar atau pun kecil.

Apatah lagi hampir sedekad bergelar anak seni, siapa pun mahu impian itu menjadi kenyataan.

Begitulah juga buat penyanyi duo, Aishahanim apabila impian mengadakan konsert atau mini showcase bakal terlaksana tidak lama lagi.

Mini Showcase One Night Only Aishahanim bakal berlangsung pada 6 Ogos depan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Bagaikan tidak percaya namun dalam masa yang sama begitu teruja apatah lagi penganjuran showcase berkenaan turut disertakan dengan makan malam dan ia adalah tanda penghargaan buat keluarga, sahabat, rakan media dan peminat yang selama ini menyokong karier mereka selama 10 tahun.

Bakal mempersembahkan 15 buah lagu, Aishahanim berkata, showcase terbabit juga sempena 10 tahun mereka dan akan menjadi lembaran kisah sejarah permulaan mereka dalam membabitkan diri di bidang seni tempatan.

“Setiap penyanyi mempunyai sejarah dan cerita sendiri. Begitu juga Aishahanim. Oleh sebab itu, showcase One Night Only Aishahanim adalah pentas untuk kami bercerita tentang perjalanan kami sejak awal terbabit dalam dunia seni.

“Kami juga mahu membuktikan, kami mampu untuk menyanyi secara live dan 15 lagu bukan mudah tetapi kami yakin dengan kemampuan dan bakat yang kami ada.

“Setiap lagu yang dipersembahkan mempunyai cerita dan kisahnya sendiri dan kami yakin 15 lagu yang dipilih adalah terbaik untuk dipersembahkan pada malam showcase itu nanti,” kata mereka.

Sepanjang dua jam persembahan berlangsung, peminat bakal dihiburkan dengan rangkaian seleksi lagu-lagu nyanyian semula dan single hits mereka antaranya Angkara, Tinggalan Cinta dan Leka.

Malah, mereka bakal menyanyikan lagu-lagu nyanyian idola mereka antaranya lagu nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Ziana Zain dan ramai lagi.

Seleksi lagu yang bakal dipersembahkan juga akan menggabungkan pelbagai genre bermula dari era 60-an sehingga sekarang.

Persembahan secara langsung itu juga diiringi oleh Band Tentera Darat Port Dickson.

Bercakap soal stamina, kedua-dua mereka kini giat berlatih menerusi senaman dan aktiviti riadah untuk memastikan mereka bertenaga sepanjang showcase itu nanti.

Dalam pada itu, Aishahanim juga teruja apabila mendapat tahu separuh daripada tiket sudah habis terjual.

“Kita menyasarkan 200 penonton namun bersedia menambah jika ada permintaan.

“Kita juga mengalu-alukan kepada mereka yang berminat untuk membeli meja dan tiket dijual pada harga Gold (RM299), Platinum (RM399) dan Titanium (RM499),” kata Aisha.

Showcase One Night Only Aishahanim dijayakan oleh Wyn Wyn Event, BERJAYA dan Ridzokumura.

By Cynthia

Leave a Reply