KUALA LUMPUR – Penemuan artifak rangka manusia berusia 14,000 tahun di Sungai Nenggiri, Kelantan, baru-baru ini membuka mata dan hati lebih ramai lagi yang mahu mendekati penciptaNya melalui mukjizat al-Quran.
Ini kerana, hasil ujian ‘radio carbon dating’ artifak yang ditemui semasa menjalankan kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat untuk Projek Hidroelektrik Lembah Nenggiri Gua Musang itu dipercayai lebih tua daripada rangka artifak di Gua Cha; Perak Man (11,000) dan Perak Woman (8,000) di Lenggong, Perak.
Penemuan oleh sekumpulan penyelidik diketuai Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli itu kemudian mendorong seorang individu dipercayai seorang pengkaji sejarah, bernama Johan Ariff mendokumentasikannya.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Johan yang menamakan diri sebagai Jai, menggelarkan rangka itu sebagai Mek (gelaran kepada wanita tua Kelantan) Keldung (gua di sepanjang Sungai Nenggiri.
Dakwanya, usia artifak Mek Keldung menunjukkan ia lebih lama dari tempoh ketamadunan manusia iaitu al insan (manusia pertama, Nabi Adam AS) sekitar antara 5,000 hingga 10,000 tahun (data spekulatif ) iaitu tempoh masa dari Nabi Adam AS hingga kini.
“Tempoh 14,000 tahun ini lebih lama dari lokasi penempatan manusia di atas muka bumi iaitu di Jericho, Palestine iaitu 10,000 tahun.
“Persoalannya ialah siapakah sosok rangka Mek Keldung ini, adakah rangka prasejarah 14,000 tahun ini, berkait dengan soalan atau dialog malaikat kepada Allah (swt) dalam surah Al-Baqarah,” katanya.
Lebih menarik lagi, Johan menimbulkan persoalan sama ada wujud Adam sebelum Adam yang dipercayai merujuk kepada Sapiens atau Homo Sapiens.
“Penemuan rangka ini di Lenggong, Gua Cha dan terkini di Lembah Nenggiri telah membuka sebuah penemuan lebih luas akan mukjizat al-Quran untuk kita fikirkan.
“Allah (swt) jadikan jin dan al Insan adalah untuk beribadah kepadaNya sebagaimana dalam Surah Al Dzariat ayat ke 56.
“Adakah ia yang digelar SAPIENS yang tidak berakal yang saling berbunuhan sesama sendiri sebagaimana yang disoal oleh Malaikat kepada Allah (swt) itu?
“Allah (swt) lebih Mengetahui akan apa yang malaikat tidak ketahui.
Tambahnya, mukjizat al-Quran semakin diyakini dan terungkai. Penemuan Mek Keldung di Lembah Nenggiri ini sebenarnya adalah mesej dari langit yang membenarkan al-Quran diturunkan 1,400 tahun lalu.
Sumber : Facebook Johan Ariff