editor@aatvnews.com

PUTRAJAYA – Prestasi dan kemajuan atlet dalam program Road To Gold (RTG) akan dinilai semula bagi menentukan kedudukan mereka dalam program berkenaan pada September ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata mesyuarat jawatankuasa penilaian program itu akan membincangkan prestasi atlet ketika itu memandangkan proses kelayakan Olimpik Paris 2024 masih berjalan untuk badminton dan acara terjun.

Katanya, buat masa ini semua atlet dalam program RTG kekal sehingga penilaian semula Setpember ini walaupun ada sebilangan atlet mengalami prestasi kurang memberangsangkan seperti ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia.

“Mereka (atlet) perlu sokongan untuk datangkan hasil, sebab itu kita memberikan tempoh sehingga September bagi memberi peluang kepada jurulatih melakukan tugas membimbing atlet,” katanya kepada pemberita selepas meraikan ulang tahun ke-30 Peruncitan Sukan Al-Ikhsan, di sini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang prestasi Zii Jia yang ditunjukkan jalan keluar awal oleh pemain Hong Kong, Ng Ka Long, pada pusingan pertama Terbuka Korea 2023, pada Rabu.

Selain Zii Jia, Pandelela, antara atlet di dalam program RTG, gagal melayakkan diri ke separuh akhir acara 10 meter platform individu pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun, malam Selasa lalu.

Dalam perkembangan lain, Hannah, berkata Malaysia tidak berhasrat menjadi pengganti negeri Victoria di Australia yang menarik diri sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Malaysia akan menganjurkan Sukan SEA 2027.

Semalam, media melaporkan Victoria membuat keputusan menarik diri sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel itu ekoran peningkatan kos penganjuran yang tinggi.

-Bernama

By Cynthia

Leave a Reply