editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan konsert 1.0 yang lalu, Kuala Lumpur Warehouse Project (KLWP) kembali lagi dengan 2.0 dan bakal dihangatkan dengan persembahan Techno, Big Room, dan Hard Techno.
Bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur KLWP 2.0 akan berlangsung pada 26 Ogos ini dan menampilkan barisan deejay antarabangsa termasuk Danny Avila, Maddix, Olly James, Marie Vaunt dan Lister.
Tidak ketinggalan artis tempatan antaranya Chukiess & Whackboi, Vision X, Smash dan Nitrozeus.
Pengerusi Leo Global Link, Datuk Muthalagan Sangaralingam berkata, KLWP 1.0 adalah yang pertama memulakan kembali Electronic Dance Music (EDM) selepas tiga tahun dalam pandemik Covid-19.
“Kami dengan bangganya mengumumkan bahawa kami melancarkan edisi kedua KLWP dengan hasrat untuk membawa pelancong kembali ke negara ini.
“Terutamanya dari negara jiran Asia Tenggara dan menjadikan Kuala Lumpur mesra pelancong sebagai ibu kota hiburan di rantau ini.
“Kami juga berbangga untuk mempamerkan bakat anak tempatan sehingga berjaya di mata dunia, malah kebanyakannya sudah terkenal di luar negara dan telah membuat gelombang di Festival seluruh dunia,” katanya.
Muthalagan berkata demikian pada sesi sidang media yang berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur, semalam.
Katanya, tiket ’Early Bird’ sudah mula dijual sejak April lalu namun laris dan habis terjual dalam masa yang singkat.
“Harga yang ditawarkan untuk KLWP Early Bird General Admission (GA) & VIP dan Tiket Kemasukan Umum & VIP fasa satu sangat berpatutan sehingga habis terjual lebih awal daripada yang kami jangka,” katanya.
Untuk pembelian tiket fasa dua, GA dijual pada harga RM198 manakala tiket VIP fasa dua pula pada harga RM258 dan pembelian boleh dilakukan di laman web https://www.ticketmelon.com/klwp/.