editor@aatvnews.com

PONTIAN – Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Kampung Serkat, di sini, jam 11.30 pagi tadi.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, pada jam 11 pagi.

Lebih 1,000 hadirin tiba untuk memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Solat jenazah turut dilaksanakan dan diimamkan anak sulung Salahuddin, Iskandar Zulkarnain, 37, yang menjadi antara permintaan Allahyarham ketika hayatnya.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Hadir sama, kepimpinan parti politik termasuk Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Naib Pengerusi Amanah, Dzulkefly Ahmad; dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam tadi (Ahad) selepas ditidurkan setelah menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu meninggalkan isteri Datin Seri Fatimah Taha dan enam anak terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.

-Awani

By Cynthia

Leave a Reply