editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Selepas ramai teman seangkatan mengadakan konsert di sini, nama Judika antara yang disebut-sebut dan dinantikan oleh peminatnya untuk menyertai teman-teman membuat persembahan.
Tidak menghampakan peminat, pemilik nama penuh Judika Nalom Abadi Sihotang ini akhirnya bakal mengadakan konsert di sini yang bakal berlangsung pada 21 Oktober nanti.
Dibawakan khas oleh jenama kosmetik unggul, Alha Alfa dengan kerjasama Kharisma Music International dan Dua Anak Deo (DAD) Management, konsert Rockmantic Night Judika & The Gang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Tidak bersendirian, konsert berkenaan turut diserikan dengan barisan penyanyi hebat dari Malaysia iaitu Shila Amzah, Marsha Milan dan Haqiem Rusli.
Berkongsi mengenai konsertnya itu, Judika berkata, dia memilih untuk mengadakan konsert di Malaysia kerana ramai peminat yang bertanya di media sosial bila dia akan datang lagi untuk menghiburkan mereka semua selepas sekian lama.
“Idea di sebalik tercetusnya konsert ini bermula dari pasangan suami isteri, Ahmad Jeffny dan Yuka Kharisma yang hadir dengan pelan pelaksanaan konsert yang sukar ditolak oleh pihak DAD Management iaitu pengurusan Judika.
“Tema ‘Rockmantic’ dipilih kerana ia gabungan perkataan ‘rock’ dan ‘romantic’ terinspirasi dari karakter saya sendiri yang memiliki jiwa rock, namun di satu sisi yang lain pula, saya seorang penyayang yang cintakan keluarga, pasangan dan sering menghasilkan karya-karya yang romantis,” katanya.
Bakal membuat persembahan hampir tiga jam, Judika akan menyanyikan sekitar 15 lagu dengan iringan orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor Indonesia, Tohpati.
“Saya mahu semua peminat yang akan hadir ke konsert saya nanti bukan hanya dapat melihat dan mendengar, tetapi juga dapat merasakan dan tidak akan melupakan.
“Datanglah dengan jiwa seorang ‘rocker’ yang berani dan pemuh semangat tetapi jangan lupa memiliki hati yang penuh cinta kerana dengan cinta membuat kita rasa bersemangat.
“Semoga konsert Rockmantic Night Judika & The Gang ini menjadi salah salah satu pengalaman yang tidak akan anda lupakan, ‘it’s a night to remember’,” katanya.
Dalam pada itu, Judika turut berkongsi reaksi orang ramai saat melihat laman Instagram (IG) miliknya tiba-tiba hilang semua gambar.
Menurut bapa kepada dua anak itu, ia adalah gimik sempena pengumuman dia bakal mengadakan konsert jelajah seluruh Asia.
“Sebenarnya saya tidak sukakan perkara sensasi dan ketika hendak melakukan perkara ini saya mengambil masa agak lama untuk berfikir sebelum setuju.
“Tidak dinafikan ramai yang marah malah ada rakan artis menghubungi saya dan sangka mereka saya bakal meninggalkan dunia seni tetapi sebenarnya semua itu hanya gimik untuk mempromosikan konsert jelajah saya,” katanya.
Konsert Rockmantic Night Judika & The Gang nanti bakal menampilkan beberapa kejutan istimewa dan peminat Judika jangan lupa segera mendapatkan tiket-tiket di www.ticket2u.com.my/judika.
Tiket-tiket dijual pada harga RM188 (Silver), RM248 (Rockzone Standing), RM299 (Gold), RM348 (VIP Rockzone Standing), RM388 (Platinum) dan RM799 (VIP).