editor@aatvnews.com
SHAH ALAM – Dalam usaha menerapkan alunan lagu Qasidah dihalwa telinga masyarakat terutamanya kanak-kanak, program Darul Ehsan Berselawat kembali dengan 2.0.
Program anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan Pertubuhan Damai dan Cinta Insani (Pendamai) itu bakal berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, di sini, Sabtu ini.
Diadakan secara percuma untuk orang ramai, program itu dijadualkan bermula pada jam 3 petang hingga 12 tengah malam.
Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad berkata, penganjuran itu adalah edisi kedua selepas kejayaan program pertama yang berlangsung pada 14 Januari lalu.
“Alhamdulillah atas sambutan yang menggalakkan pada edisi pertama program ini, ia diteruskan lagi dan pada kali ini pengisian lebih banyak kami tambah berbanding yang dahulu.
“Lebih ramai ulama dan pendakwah luar dan dalam negeri yang kami jemput dan ada yang kami jemput lagi antaranya Sheikh Abu Zaki, Sheikh Ashraf Hamed Hassanin, Sheikh Abdullah Jahaf, Ustaz Neezam Al-Banjari dan Babul Mustofa.
“Tidak hanya berselawat, program juga akan di isi dengan zikir munajat, Gema Haflah Al-Quran, Qasidah dan Mahalul Qiyam serta Tausiyah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai program berkenaan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seksyen 7 di sini, hari ini.
Katanya, kisah kehidupan Rasulullah SAW turut menjadi fokus utama dalam program yang dianjurkan itu.
Bertemakan ‘Bernafas dalam Hawqalah, Fakir Ila Allah’, antara yang tersedia pada program itu ialah Himpunan Pendekar Nusantara, program khas muslimat selain pertandingan hafazan dan seni khat.
Tidak ketinggalan kehadiran selebriti tempatan seperti Datuk Adi Putra, Irma Hasmie, Amyra Rosli, Datin Seri Umie Aida dan Erma Fatima.
Dalam pada itu, Masdiana turut menyasarkan lebih ramai lagi yang akan hadir pada program berkenaan termasuklah kanak-kanak.
“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung hadir untuk sama-sama menyertai program ini.
“Kami mahu anak-anak bersiul bersama-sama menyanyikan lagu-lagu Qasidah yang dipersembahkan.
“Insya-Allah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan turut sama memeriahkan majlis dan ada kejutan akan diberikan pada hari itu nanti,” katanya.
Katanya lagi, jika diberi peluang masih bersama Selangor, pihaknya berhasrat mahu menjadikan program itu sebagai tahunan disamping menganjurkannya di setiap daerah di Selangor.