editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) bakal menganjurkan majlis makan malam amal sebagai usaha membantu ahli-ahlinya yang dalam kesusahan.
Menyasarkan kutipan sebanyak RM100,000, majlis yang diberi nama Malam Amal Sepanjang Jalan Kenangan itu akan berlangsung pada 9 September depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Melaka.
Timbalan Presiden PKAVM, Sandakiah Azez berkata, penganjuran ini adalah salah satu acara yang dirancang dalam usaha mengumpul dana membantu ahli mereka yang memerlukan.
Katanya, setakat ini seramai 20 ahli yang terlantar sakit dan sebahagian dana juga akan diperuntukkan bagi menjalankan program pembangunan modal insan, memberi peluang kepada ahli untuk meningkatkan prestasi dan imej.
“Banyak program sedang kami atur sepanjang tahun ini dan tahun depan dalam memberi manfaat kepada ahli yang ada seramai 200 orang dan mereka sudah berusia 50 tahun ke atas.
“PKAVM juga berhasrat membawa program malam amal ini menjelajah ke seluruh negara dan kami sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sudi,” katanya pada sidang media pelancaran malam amal itu, baru-baru ini.
PKAVM mengalu-alukan sokongan daripada pelbagai pihak jabatan dan agensi kerajaan, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan serta individu melalui penajaan platinum, emas, perak dan gangsa berharga antara RM10,000 hingga RM50,000.
Turut ditawarkan adalah belian meja antara RM2,000 hingga RM8000, ruang iklan dalam buku cenderamata, tajaan barangan atau sumbangan ikhlas lain.
Antara barisan artis yang bakal menjayakan persembahan penuh nostalgia itu ialah Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jefrydin, Datuk Yusni Hamid, Sophia Ibrahim, Hairee Kool dan P Radhi.
Bagi yang berminat menempah meja atau info lanjut hubungi Sandakiah (010-2660562) atau Norlydiawati (019-2529805).