editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Enggan mewujudkan persaingan tidak sihat, memilih lokasi kedai yang strategi adalah antara resepi kejayaan buat rangkaian restoran Ali Maju.
Pemiliknya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, 59, berkata, meskipun sudah memiliki berpuluh cawangan restoran, beliau tetap akan memastikan perancangan dalam mewujudkan cawangan baharu lebih terancang.
Ini kerana, selain membuka cawangan restoran beliau turut menekankan peluang pekerjaan dan kebersihan sebagai keutamaan.
“Kalau hendak buka kedai saya akan pastikan kawasan itu strategik dan tidak bersaing dengan mana-mana kedai makan sedia ada.
“Selepas itu saya akan beli sebagai harta tanah kerana selain restoran bangunan yang dibeli juga akan menempatkan asrama pekerja dan pejabat cawangan.
“Walaupun sudah mempunyai banyak cawangan restoran, saya juga sentiasa ingatkan diri sentiasa mengikut undang-undang antaranya jangan culas membayar cukai dan sentiasa memastikan kebersihan setiap restoran mengikut piawaian.
“Saya juga akan memastikan peluang pekerjaan yang diberikan kepada anak muda dapat menjadikan mereka usahawan satu hari nanti jika berhasrat membuka perniagaan makanan,” katanya pada majlis pembukaan cawangan ke-22 restoran berkenaan di Setapak, baru-baru ini.
Berkongsi rezeki dan ikhlas menjadi konsep yang diamalkan sehingga kini.
Justeru, pada majlis itu tetamu dihidangkan dengan pelbagai menu makanan sejak awal pagi hingga malam.
“Ini adalah tradisi saya sejak dulu apabila membuka cawangan baharu saya akan meraikan tetamu dengan belanja mereka makan.
“Salah satu tips dalam perniagaan berkongsi rezeki kerana dalam setiap rezeki yang kita punya ada hak orang lain juga,” katanya.