editor@aatvnews.com

AMPANG – Kontroversi yang pernah melanda dirinya menyebabkan pelakon veteran, Mak Wan Latah sudah lama tidak menerima tawaran berlakon.

Mak Wan, 62, berkata, hampir setahun dia tiada sebarang ‘job’ malah dia pernah merayu diberikan peluang namun ditolak dengan pelbagai alasan.

“Buat masa ini saya tidak buat apa-apa memang sudah lama tidak menjalani penggambaran drama.

“Pada awal tertanya juga apakah sebab dan punca, tetapi saya merasakan mungkin punca daripada kontroversi yang melanda diri saya sedikit masa lalu.

“Sebenarnya saya tidak mahu ingat apa yang sudah berlalu, tetapi rasa sedih juga kerana akaun bank pun sudah mula kosong,” katanya ketika ditemui pada sidang media majlis makan Malam Amal Sepanjang Zaman, baru-baru ini.

Mak Wan berkata, dia perlukan wang untuk membayar rumah, kereta dan membeli ubat-ubatan.

Disebabkan sudah lama tiada tawaran berlakon ia menyekat perbelanjaan hariannya.

“Beberapa kali juga saya bertanya kenapa tiada tawaran lakonan untuk saya, ada yang memberi alasan pemilihan pelakon ditentukan oleh stesen TV dan perlu ada jumlah pengikut yang ramai di sosial media,” katanya.

Bagi meneruskan kehidupan, Mak Wan kini berniaga kecil-kecilan dengan menjual barangan makanan.

“Saya perlu teruskan kehidupan dengan mencari rezeki lain, buat masa ini saya berniaga pelbagai barangan makanan.

“Kalau saya tidak buat semua ini siapa yang hendak beri saya makan dan membeli keperluan lain.

“Saya tidak mahu mengharapkan anak-anak mereka juga ada komitmen masing-masing,” katanya lagi.

Tahun lalu, Mak Wan terpaling dengan pelbagai kontroversi antaranya perkahwinan dengan bekas suami yang hanya bertahan tiga bulan sahaja.

Mak Wan juga turut dikaitkan bergaduh dengan bekas pembantu peribadinya.

By Cynthia

Leave a Reply