KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) menyifatkan Belanjawan MADANI Kedua – Belanjawan 2024 bukti keprihatinan kerajaan dalam memperkasakan pembangunan ekonomi industri perfileman negara.
Presidennya, Pansha, berkata GAFEMA malah yakin dan percaya belanjawan kali ini akan merangsang pertumbuhan industri kreatif dalam negara.
“GAFEMA menyambut baik Belanjawan 2024 (Belanjawan MADANI Kedua) dan amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas keprihatinan.
“Dalam masa yang sama, industri kreatif juga menyokong lain-lain industri secara keseluruhan yang berkaitan.
“Kefahaman Perdana Menteri berkaitan aktiviti seni budaya bukan sekadar hiburan adalah sangat dikagumi bagi membantu memelihara, melestarikan dan menyebarkan warisan budaya dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, peruntukan RM60 juta di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan manakala RM90 juta di bawah insentif Film in Malaysia Incentive (FIMI) akan terus menggalakkan penghasilan filem tempatan bertaraf antarabangsa.
“Ia secara langsung mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara dalam pelbagai pekerjaan seperti artis, pengarah filem, kru belakang tabir dan banyak lagi.
“FIMI menjadikan Malaysia
sebagai hab destinasi penggambaran antarabangsa,” katanya.
Bagi pindaan menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem katanya, ia secara langsung menarik minat kemasukan produksi filem asing membuat penggambaran di Malaysia.
“Pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas, acara hiburan seperti
tayangan filem serta acara sukan dan permainan di Selangor, Wilayah Persekutuan harus dicontohi oleh negeri-negeri lain yang mengenakan duti hiburan.
“Kadar 25 peratus duti hiburan
sedia ada yang terpaksa ditanggung oleh rakyat antara duti hiburan tertinggi di dunia,” katanya.
Tambahnya lagi, penganjuran kembali Anugerah Seni Negara secara tahunan bagi mengiktiraf
dan penghargaan tahap tertinggi kepada tokoh, penggiat seni, budaya dan warisan juga adalah
sangat dihargai oleh industri.
“GAFEMA berterima kasih di atas usaha serta keprihatinan Menteri Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Teo Nie Ching serta seluruh warga Kementerian Komunikasi Digital (KKD) yang tidak jemu-jemu mendengar rintihan dari penggiat seni.
“Bergabung dan merancang dengan lebih pro-aktif, demi pemeliharaan budaya, pemerkasaan masyarakat,
pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi industri secara keseluruhan,” menurutnya.
Untuk rekod, GAFEMA terdiri daripada tujuh persatuan seni utama industri perfileman tempatan diwakili oleh Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (MEWA), Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM), Persatuan Pasca Produksi, Animasi Dan Kandungan Kreatif Malaysia (POSTAM), Persatuan ANimasi Malaysia (ANIMAS).