SHAH ALAM – Berada di kelas pemulihan dan lemah penguasaan 3M (membaca, menulis, mengira), tetapi program Sekolah Amanah Yayasan AMIR (YA) mengubah perjalanan hidup Nur Afiq Razali menjadi insan berjaya.
Nur Afiq, 25, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu, Kota Tinggi mengakui sangat beruntung kerana pernah berpeluang menyambung pelajaran di institusi pendidikan berstatus Sekolah Amanah itu.
Dia yang kini Pengarah Eksekutif Goldenring Studios, di Johor Bahru berkata Sekolah Amanah telah memberinya peluang yang sukar didapati di mana-mana, yang membentuk kemenjadian dirinya sebagai murid.
“Prestasi akademik saya asalnya biasa sahaja. Saya dari kelas pemulihan, tak reti baca, menulis, mengira cuma suka bercakap tetapi tidak ‘proper’ sejak Tingkatan Satu.
“SMK Semenchu adalah sekolah luar bandar dan menjadi kohort pertama bagi program Sekolah Amanah.
“Daripada situ, program ini mengubah saya kepada pelajar kelas normal sehingga saya beroleh 7A dalam PMR dan 5A dalam SPM.
“Ketika di Tingkatan Empat, saya dipilih untuk membentangkan video dokumentasi ‘Meet Afiq’. Cikgu cungkil bakat dan minta saya sertai debat. Daripada berdebat, saya banyakkan belajar membaca dan menulis, lama- kelamaan ia membentuk diri saya lebih baik terutama soft skill seperti kepimpinan,” katanya.
Justeru, mana-mana murid atau guru yang mendapat tempat di sekolah berstatus Sekolah Amanah, pendebat terbaik sekolah peringkat daerah pada 2014/2015 itu amat menyarankan supaya mereka merebut peluang ke sekolah berkenaan.
Nur Afiq ditemui pada program Persidangan Sekolah Amanah 2023 Ke Arah Transformasi Pendidikan Malaysia : Memupuk Kesiapsiagaan Masa Hadapan, di Geno Hotel, Subang Jaya, di sini yang diadakan pada 25 dan 26 Oktober lalu.
Program dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Abdul Muie Ngah dan dihadiri Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YA, Yang Mulia Raja Arshad Raja Tun Uda dan Penasihat YA, Zaidah Shaari.
Sementara itu, Dayang Nur Syazwani Abang Redzuan, 22, yang sedang mengikuti program Felo Perdana di bawah Perdana Menteri, berkata program Sekolah Amanah memberi impak besar dan meninggalkan kenangan manis dalam hidupnya.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Kuching, Sarawak 2014-2018 itu berkata Sekolah Amanah benar-benar berbeza kerana berupaya membentuk keyakinan murid ke arah kemenjadian insan.
“Satu perkara yang saya dapati berbeza di sekolah berasrama penuh atau bukan Sekolah Amanah adalah keyakinan.
“Di sini, kami murid sangat digalakkan untuk bersuara, meluahkan pemikiran minda, in a good way without sounding rude.
“Sekolah Amanah is a platform for them (murid), shape them to lead and play important role,” katanya.
Dayang Nur Syazwani malah meyakinkan umum bahawa tidak akan timbul isu lepasan sekolah tidak berminat untuk sambung belajar jika pernah belajar di Sekolah Amanah.
Nur Afiq dan Dayang Nur Syazwani adalah alumni program Sekolah Amanah berkongsi pengalaman mereka di atas pentas pada program persidangan berkenaan.
Untuk rekod, Sekolah Amanah kini mempunyai kira-kira 160,000 alumni dan 6,000 guru bersilih ganti sejak lebih 11 tahun lalu.
Program berkenaan mendapat 11 tajaan termasuk Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional), Yayasan Hasanah, Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Yayasan Pahang, Westport, Yayasan Dayadiri, dan LeapEd, setakat ini.
YA diperbadankan oleh Khazanah Nasional Berhad pada 26 Oktober 2010 sebagai yayasan yang tidak berasaskan keuntungan.