editor@aatvnews.com

CHERAS, 11 Disember 2023 – Ahli Parlimen
Bandar Tun Razak, YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini melancarkan Tuisyen Secara Dalam Talian Confirm AI.

Menurut Dr Wan Azizah, program ini dianjurkan oleh Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Program yang dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak ini akan
menggunakan platform pembelajaran atas talian Confirm AI yang telah dibangunkan oleh
UNITEN.

Program ini bertujuan menyasarkan kepada para pelajar SPM 2023/2024 dari keluarga
berpendapatan rendah dengan pencapaian akademik sederhana dan rendah di 14 buah
sekolah menengah di dalam kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

Dengan melibatkan lebih 1000 orang pelajar, tuisyen percuma ini akan berlangsung selama
setahun dan akan memberi fokus kepada enam matapelajaran teras SPM iaitu Bahasa
Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Prinsip Perakaunan.

Program ini akan dijalankan secara dalam talian menggunakan sistem Confirm AI yang disesuaikan dengan tahap kebolehan individu.

Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan pencapaian akademik serta keyakinan pelajar dalam menduduki SPM 2023/2024. Ianya juga selari dengan matlamat untuk ‘memperkasakan rakyat’ melalui pendidikan berkualiti selaras dengan penekanan kerajaan pada masa ini.

Confirm AI merupakan hasil projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan dana pembangunan sebanyak RM500,000 untuk UNITEN. Menerusi sistem ini, para pelajar boleh menjalani latih tubi bagi meningkatkan pemahaman dalam matapelajaran berkenaan.

Dengan adanya Program Tuisyen Secara Dalam Talian ini, UNITEN berharap agar setiap pelajar ini dapat mengakses pendidikan yang lebih berkualiti tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Usaha proaktif seperti ini, bukan sahaja mendukung pembangunan insan tetapi juga membina masyarakat yang lebih berpengetahuan dan berdaya saing, menyumbang kepada pembentukan masa depan negara yang lebih cemerlang.

Leave a Reply