editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR, 10 Disember 2023 – Ahli Parliman Bandar Tun Razak yang merupakan isteri kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah bin Wan Ismail merasmikan Taman Kucing Madani @ Flat Sri Sabah pada hari ini.

Sebagai permulaan, sebanyak 20 ekor kucing telah ditempatkan di Taman Kucing ini dan sebanyak RM150 ribu telah diperuntukan bagi pembinaan dan kelengkapan di dalam Taman Kucing tersebut.

Pembinaan Taman Kucing Madani ini merupakan salah satu inisiatif yang diilhamkan sendiri oleh YB Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Dengan adanya Taman Kucing Madani di Flat Sri Sabah ini, ianya akan menjadi satu titik permulaan dalam usaha untuk menjadikan Kawasan di Flat Sri Sabah sebagai pusat center pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mempunyai taman perlindungan dan tempat memelihara khas kucing-kucing jalanan, kucing-kucing terbiar, kucing-kucing yang dizalimi dan dibuang.

Mengangkat tujuan pembinaan Taman Kucing Madani sebagai suatu usaha murni, YB Bandar Tun Razak turut menzahirkan hasrat beliau untuk menguruskan haiwan-haiwan ini dengan baik, menyediakan tempat tinggal/perlindungan yang selesa dan menyediakan makanan yang sihat demi memastikan haiwan peliharaan ini sentiada sihat dan selamat.

Sikap murni ini juga merupakan sikap ihsan yang terkandung dalam konsep Malaysia Madani yang telah diperkenalkan sendiri oleh YAB Perdana Menteri tidak lain menjadi tunggak kepada kesejahteraan dan keharmonian Negara.

Justeru, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah mengajak semua warga di Wilayah Persekutuan khususnya untuk bersama-sama memberi sokongan kepada Taman Kucing Madani @ Flat Sri Sabah dan turut menjemput mana-mana pihak, agensi kerajaan atau swasta, NGO dan Syarikat korporat menyumbang bagi menaiktaraf kemudahan Taman Kucing Madani ini.

Semua pihak yang berhasrat untuk menjaga dan memelihara kucing-kucing yang terdapat di Taman Kucing Madani ini sangat dialu-alukan.

Pembinaan Taman Kucing Madani @ Flat Sri Sabah ini turut mendapat kerjasama daripada pencinta-pencinta Kucing Kuala Lumpur dan juga Persatuan Penduduk di Flat Sri Sabah.

Leave a Reply