PETALING JAYA – Meraikan kemeriahan sambutan hari ibu, guru dan jururawat yang diraikan pada bulan Mei ini, jenama kek terkenal Mamasab menghadiahkan 3,000 biji kek kepada mereka yang bertuah.
Mereka yang layak menerimanya adalah dari kalangan ibu, guru dan jururawat.
Pengasas Mamasab, Siti Noor Sabrina Soobri berkata, ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mereka lakukan dan bersempena kempen hari ibu, hari guru dan hari jururawat yang disambut pada bulan Mei ini.
“Ini adalah program kempen pertama yang kami lakukan untuk meraikan ibu, guru dan jururawat yang menyokong kami sejak awal penubuhan lagi.
“Ia juga untuk meraikan ejen kami dengan aktiviti sosial sebegini dalam menggerakkan momentum kearah lebih aktif lagi,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Mamasab.
Siti Noor Sabrina berkata, program CSR yang dilakukan ini secara tidak langsung dapat menggembirakan dan menceriakan mereka terutamanya golongan wanita yang banyak berkorban.
“Kita hadiahkan 3,000 biji kek dan hebahkan keseluruhannya secara dalam talian.
“Saya tidak menyangka sambutan dari orang ramai amat luar biasa, mereka memohon dengan mengisi borang secara online dan pihak kami akan meneliti permohonan dan terus membuat penghantaran melalui kurier,” katanya.
Siti Noor Sabrina berkata, pihaknya meluahkan rasa syukur dan teruja dengan sambutan dan penghargaan yang diterima.
“Alhamdulillah, bukan sahaja ada yang memohon kek percuma namun turut membeli kek dan ini sekali gus meningkatkan promosi dan jualan produk kami.
“Atas sambutan yang luar biasa diterima ini, Insya-Allah Mamasab akan menghadiahkan 1,000 biji kek lagi menjelang sambutan hari bapa pada bulan Jun nanti,” katanya.
Sementara itu, Mamasab turut menyasarkan pembukaan 300 cawangan mini dan menjangkakan peningkatan 100 orang master stokis serta 20,000 ejen jualan di seluruh Malaysia.