KUALA LUMPUR – Tiga usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) telah dinobatkan sebagai Ikon Usahawan OKU negeri Selangor oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor dan juga juri yang lain pada Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) yang telah berlangsung di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Mereka yang layak ialah Ahmad Anda Ismail (Jamu Kunyit) – OKU Fizikal (tempat pertama), Mahmud Rasul (Kuih Raya dan Kuih Tradisional) – OKU Fizikal (tempat kedua) dan Sazman Nazlee Adha Ali (Perkhidmatan Jurugambar) – OKU Pendengaran (tempat ketiga).
Program Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) kali ini telahpun memasuki edisi kelima penganjurannya.
Program SAY LEAD adalah sebuah inisiatif yang dianjurkan oleh Selangor Youth Community (SAY), sebuah organisasi bukan kerajaan yang diasaskan oleh DYTM Raja Muda Selangor untuk memperkasakan usahawan OKU di dalam negeri Selangor.
Menariknya, dalam edisi kali ini, usahawan OKU pekak dan bisu juga turut menyertai dan menunjukkan potensi yang luar biasa seperti usahawan OKU lain.
Dengan bantuan daripada Jurubahasa Isyarat (JBI) semasa sesi pembentangan akhir dijalankan, mereka berhasil membuktikan bahawa mereka juga mampu dan berkeinginan sama seperti orang lain.
Kali ini, pihak SAY turut meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Unit Perkhidmatan OKU (UPO UITM).
Kerjasama ini telah dilaksanakan sejak tahun 2021 dan hasil daripada kerjasama ini, UPO UITM telah berjaya menghasilkan 5 kertas kajian yang berimpak.
Matlamat pihak SAY adalah agar kerjasama ini dapat membentuk satu kerjasama yang holisitik dan inklusif demi pembangunan OKU Negeri Selangor.
Melalui program SAY LEAD, objektif utama Baginda adalah untuk mempromosikan perniagaan usahawan OKU yang pelbagai dalam usaha untuk mengubah ekosistem usahawan OKU agar terus kekal berdaya saing dalam sektor ekonomi seiring dengan arus pemodenan.
Program ini turut ditaja oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan yang dipimpin oleh Mohd Najwan Halimi.
Malah, program ini juga turut mendapat bantuan data peserta OKU dengan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.
Antara kriteria pemilihan peserta iaitu ialah:
● Pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang sah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
● Berumur antara 18 tahun hingga 40 tahun
● Menjalankan perniagaan di negeri Selangor
Program SAY LEAD edisi kelima ini telah memilih seramai 30 peserta sejak Oktober 2023 untuk menjalani kursus perniagaan seperti modul-modul berikut:
● Profil keusahawanan
● Bisnes model kanvas dan rancangan perniagaan
● Penjenamaan dan pemasaran digitalisasi
● Pengurusan kewangan
● Sesi perkongsian bersama agensi yang berkenaan
● Bengkel bisnes profil dan pembentangan perniagaan
Pusingan akhir liga usahawan OKU Selangor edisi kelima ini telah diadili oleh:
1. DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor
2. Ahmad Daud Abdul Rashid, Ketua Bahagian Penasihat dan Pemantauan, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad – PUNB
3. Muhd Firdaus Azharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara – INSKEN
4. Yuzawati Yusof, Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS
5. Mohammad Syukri Ismail, Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad – KOHIJRAH
Tiga usahawan OKU yang berjaya mendapat tempat dalam pembentangan akhir bakal mendapat faedah seperti berikut:
● Piala dan sijil pengiktirafan dari Selangor Youth Community (SAY)
● Geran perniagaan berjumlah RM4,000 (Juara), RM 3,000 (Naib Juara) dan RM 2,000 (Ketiga)
● Layak ke peringkat seterusnya iaitu SAY LEAD+, program bimbingan selama 3 bulan untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan melalui akses pasaran baru, digitalisasi perniagaan dan pasaran eksport serta reruai secara percuma.