KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini membuat laporan polis berikutan membantah tindakan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata penubuhan JKDM di Sabah telah menyebabkan berlaku sedikit kekecohan.
Jelasnya, penubuhan JKDM di Sabah di bawah KKDW yang diterajui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi amat memeranjatkan pimpinan politik dan kerajaan negeri Sabah.
“Kerajaan negeri Sabah tidak dimaklumkan tentang penubuhan JKDM ini.
“Sabah ini berbeza dengan negeri Semenanjung. Sudah tentu ada undang-undang khusus berbanding negeri-negeri Semenanjung. Apa sahaja tindakan yang ingin dibuat di Sabah sepatutnya kerajaan negeri perlu diberitahu dahulu,” katanya pada sidang medianya hari ini selepas membuat laporan itu di Balai Polis Sri Petaling.
Sebelum itu, media melaporkan dalam lawatan Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ke Sabah telah menyerahkan watikah pelantikan JKDM kepada Ketua UMNO Sabab Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mewakili 132 pengerusi dan setiausaha jawatankuasa itu dari 66 kampung di Kinabatangan.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai meminta penjelasan penubuhan JKDM sedangkan sudah diwujudkan JKKK di setiap kampung di negeri ini.
Sementara itu, Zulkarnain berkata walaupun UMNO telah bertapak di Sabah sejak sekian lama tetapi status UMNO di Sabah kini adalah pembangkang.
Beliau mempersoalkan adakah logik bagi pimpinan UMNO yang mengetuai KKDW di Persekutuan meminta restu dari Bung Moktar selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah pembangkang.
“Sedangkan Ketua Menteri Sabah dikebelakangkan didalam membuat keputusan yang membabitkan hal ehwal pentadbiran di Sabah.
“Sabah kini ditadbir oleh GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan PH (Pakatan Harapan). Justeru laporan polis ini dibuat sebagai bantahan ke atas tindakan kurang sopan menteri UMNO berhubung JKDM di Sabah,” katanya.