SUBANG JAYA – Program The King’s Trust 2024 mengiktiraf beberapa peserta dalam usaha membantu mempertingkatkan jati diri dan keperibadian anak muda masa kini.

The King’s Trust International adalah sebuah organisasi global yang diasaskan oleh Raja Charles III telah menjalinkan kerjasama dengan Selangor Youth Community (SAY) di bawah naungan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Program ini telah memulakan inisiatif untuk menyokong belia berisiko melalui program pembangunan peribadi dan profesional selama 9 minggu yang membabitkan pelbagai aktiviti.

Seorang peserta dalam program ini Amirul Mukminin telah dipilih sebagai pemenang serantau Anugerah Kelestarian The King’s Trust 2024 untuk Asia dalam Anugerah Global The King’s Trust 2024, anugerah yang mengiktiraf golongan muda yang cemerlang dalam program The King’s Trust di seluruh dunia.

Amirul telah diraikan bersama beberapa alumni program, rakan strategik, dan semua pihak berkepentingan yang terbabit.

Acara ini turut dihadiri oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Kisah Amirul yang melalui pembangunan peribadi signifikan melalui Program Team telah membuka mata ramai mengenai kepentingan program sebegini.

Memulakan program dengan harapan di hati, pencapaian pertama Amirul ialah membuang perasan malu dan rendah diri yang menghalangnya.

Apabila kemahiran komunikasinya berkembang, dia berubah dari seorang peserta yang pemalu kepada individu yang lebih yakin.

Semasa fasa projek komuniti dalam program Team, semangat Amirul terhadap alam sekitar jelas terserlah. Kepimpinannya telah membimbing kumpulan ke arah inisiatif komuniti alam sekitar yang memberi tumpuan kepada penanaman pokok bakau sebagai strategi pencegahan banjir.

Usaha ini bukan sahaja mempamerkan ketekunannya tetapi juga menandakan permulaan perjalanan transformasinya.

“Saya menjadi seorang yang lebih yakin dan berani sejak menyertai program ini. Bagi saya program ini sangat bagus untuk disertai oleh ramai anak muda kerana ia membantu menambah keyakinan diri kita.

“Kita menjadi lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan yang kita minati disamping dapat berkongsi pengalaman dan ilmu dengan orang lain,” kata Amirul.

Pada majlis sama, Selangor Youth Community juga telah memberi penghargaan kepada rakan strategik dengan anugerah pengiktirafan masing masing.

Nestle Malaysia dianugerahkan sebagai The Most Supportive Corporate Partner Award manakala kedua-dua Perkeso dan Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) menerima pengiktirafan sebagai The Most Supportive Employment Partner Award.

Seorang Alumni Program Team yang lain, Syafiq Affizuddin juga dianugerahkan Perseverance Award sebagai pengiktirafan terhadap semangat jitu beliau dalam mengharungi kesulitan hidup.

Sementara itu, Pengurus Program Team, Siti Nurainin Nabillah Mohd Azman berkata, SAY menyasarkan golongan muda yang mencari hala tuju dalam pemilihan kerjaya diminati.

Katanya, program ini memfokuskan dua aspek utama iaitu alam sekitar dan komuniti untuk dijadikan aktiviti bersama peserta.

“Untuk bidang kerjaya yang ditawarkan kepada peserta Team ada banyak dan kami tidak fokus kepada alam sekitar sahaja.

“Kami juga menawarkan pekerjaan kategori entry level seperti industri makanan dan minuman, komunikasi dan banyak lagi, yang penting ia menepati pasaran terkini,” katanya.

Pada majlis sama, turut berlangsung pemeteraian antara Nestle Malaysia dan Selangor Youth Community di mana kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman yang disaksikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor.

By Cynthia

Leave a Reply