KAJANG – Demi memperkenalkan bidang kerjaya yang mempunyai pasaran kerja yang tinggi, Kolej Universiti Inovatif menerusi Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-Undang (LPU) mengambil pelbagai inisiatif dengan memberi pendedahan amali kepada pelajar.

Kolej Universiti Inovatif  yang mula beroperasi sejak tahun 1999 adalah pusat pengajian pertama di Malaysia yang menawarkan latihan menembak dalam Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api sejak 2023.

Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api adalah salah satu silibus dalam pengajian peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda Penguatkuasaan Undang-Undang di LPU.

Selain latihan menembak di lapang sasar, LPU juga memberi pendedahan latihan kawad dan pengalaman di mahkamah bagi memperkukuhkan pengetahuan serta pengalaman dalam bidang pengkhususan pelajar.

Bagi memperkasakan lagi Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-Undang pihak kolej melancarkan Majlis Perkasa untuk merasmikan Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan  Senjata Api dan Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang (Dengan kepujian).

Perasmian Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan Senjata Api dan Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang (Dengan kepujian) dirasmikan oleh Ketua Lesen Pasukan dan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Ibu Pejabat  Polis Diraja Malaysia, SAC Dato’ Dzulkhairi Mukthar di Kelab Menembak Bandar Kajang.

Dato’ Dzulkhairi dalam ucapannya berkata, usaha memperkenalkan Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan Senjata Api oleh pihak kolej adalah inisiatif yang sangat baik.

“Saya meneliti usaha pihak fakulti dalam memberikan latihan kecergasan jasmani, ujian psikologi dan latihan kawad sebagai satu usaha fakulti dalam memperkukuhkan program pendidikan berasaskan latihan amali demi melahirkan kadet elit program penguatkuasaan undang-undang.

“Inisiatif kolej dalam memperkenalkan latihan berasaskan program penguatkuasaan undang-undang iaitu dengan Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan Senjata Api adalah usaha yang pertama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, di Malaysia pemilikan dan penggunaan senjata api di kawal ketat undang-undang di bawah Akta Senjata Api 1960 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat)  1971.

Justeru, memupuk sikap disiplin yang tinggi dalam penggunaan senjata api amatlah penting.

Dalam pada itu, Dzulkifli mengucapkan sekalung tahniah kepada Kolej Universiti Inovatif kerana telah mendapat perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi program pengajian Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang (Dengan Kepujian) atau dikenali sebagai Bachelor in Low Enforcement (Honours).

“Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa pihak kolej memiliki prestasi cemerlang dalam akdemik dan ko-kurikulum.

“Harapan saya agar pelajar mencapai cita-cita, menggandakan usaha, membanggakan ibu bapa serta tanamkan cinta kepada bangsa agama, perlembagaan undang-undang dan negara,” katanya.

Sementara itu, penyanyi popular Syafiq Farhain yang juga seorang anggota Bomba telah dilantik sebagai duta Fakulti Penguatkuasaan Undang-Undang (LPU) sejak September tahun lalu.

Syafiq yang telah berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selama hampir 11 tahun menjadi selebriti pertama yang menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang.

Pengarah Urusan Innovative Student Management, Johari Jamaluddin berkata, pemilihan Syafiq sebagai duta dan penerima biasiswa adalah kerana pengaruhnya selaku selebriti yang mempunyai kredibiliti dan masih berkhidmat dalam unit beruniform.

Sebagai penerima biasiswa, Syafiq berbesar hati dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus menjadi contoh kepada anak muda di luar sana tentang kepentingan menyambung pelajaran.

“Meskipun saya sudah mempunyai karier yang tetap sebagai anggota bomba dan juga penyanyi, bagi saya penting untuk meningkatkan diri ke peringkat yang lebih tinggi dengan menyambung pengajian.

“Bagi saya menyambung pelajaran dapat membentuk sahsiah serta memberi pengalaman yang baru kepada saya yang sebelum ini hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

“Saya menyeru kepada golongan muda, jika ada peluang tolonglah sambung belajar demi masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

By Cynthia

Leave a Reply