KUALA LUMPUR – Tidak lengkap bulan sakti Ogos tanpa pengisian yang melestarikan patriotisme terhadap negara yang mencapai kemerdekaan setiap tanggal 31 Ogos.
Selepas Ogos diraikan dengan semangat kemerdekaan, September hadir dengan semarak cinta yang lebih besar apabila negara menyambut Hari Malaysia setiap 16 September.
Tentu sahaja pengisian hiburan menjadikan Ogos dan September seperti dua bulan keraian patriotisme yang cukup istimewa berbanding 10 bulan lainnya.
Selaras itu, Perbadanan Stadium Malaysia dengan kerjasama MND Sport & Event selaku penganjur bersama dengan bangga menganjurkan Konsert Jiwa Malaysia 2024 sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 dan juga Hari Malaysia.
Konsert Jiwa Malaysia yang dijadual berlangsung pada 7 September 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil ini disifatkan sebagai bukan hiburan kosong sebaliknya penuh
dengan nilai-nilai yang mampu menyemarakkan semangat kemerdekaan terutama dalam kalangan generasi muda.
Enam kugiran tanah air akan menggerakkan keghairahan dan semangat kemerdekaan pengunjung nanti.
Mereka ialah kugiran legenda Spider, band kegemaran ramai- Hujan, RuRegde yang penuh warna, tiga gadis sensasi mewakili Dolla, band energatik Bunkface dan Insomniacks serta si kecil molek dari Sandakan Sabah, Bella Astillah.
Sedar Ogos dan September dibanjiri pelbagai acara, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Iliyas Jamil menyifatkan Konsert Jiwa Malaysia 2024 berbeza daripada penganjuran lainnya.
Dengan matlamat menyatu padukan seluruh generasi pelbagai lapisan masyarakat dan usia, Konsert Jiwa Malaysia 2024 juga akan menjadi sebuah platform bagi anak-anak muda untuk mengekspresikan rasa cinta mereka terhadap tanah air melalui pelbagai persembahan muzik yang penuh dengan semangat patriotik.
“Bertemakan Jiwa Malaysia, konsert ini bukan sahaja akan menghiburkan pengunjung yang majoriti dari kalangan generasi muda, malah turut menginspirasi mereka tentang kepentingan memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara.
“Pembabitan Spider, Hujan, RuRedge, Dolla, Bunkface, Insomniacks dan Bella Astillah mewakili setiap generasi masing-masing disifatkan relevan dalam usaha membangkitkan nilai-nilai kemerdekaan dalam masyarakat hari ini,” katanya.
Buat satu-satunya permata yang menghiburkan pengunjung bermula jam 8 malam di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 7 September, Bella Astillah berkata, kesempatan yang diberi kepadanya akan dimanfaatkan sebaik mungkin.
Sementelah, Bella secara tidak langsung seperti mewakili Sabah yang melengkapkan negara bernama Malaysia.
“Sejujurnya Konsert Jiwa Malaysia 2024 akan menjadi platform yang sangat bermakna buat saya sebagai satu-satunya penyanyi wanita solo pada malam itu serta wakil pengiat seni dari Sabah.
“Terima kasih buat penganjur yang memberi kepercayaan kepada saya untuk berkongsi pentas dengan lima kugiran hebat tanah air demi menyemarakkan rasa cinta terhadap negara kita yang tercinta.
“Tidak kira saya dari Sabah atau Spider dari Johor misalnya, kita semua satu. Kita adalah wajah Malaysia,” katanya.
Lebih mengujakan, penganjur yang menyasarkan seramai 15,000 penonton meletakkan dua harga cukup berbaloi dibeli pengunjung untuk menikmati Konsert Jiwa Malaysia 2024.
Pengunjung boleh membeli tiket berharga RM70 (JIWA- berdiri) dan RM50 (MERDEKAduduk) untuk EARLY BIRD serta RM120 (JIWA- berdiri) dan RM 90 (MERDEKA- duduk) bagi harga asal menerusi https://ilassotickets.com untuk merasai pengalaman berbeza eraikan semangat patriotisme di Konsert Jiwa Malaysia 2024.
Pastikan anda adalah salah seorang calon pengunjung yang akan melakar sejarah bersama Konsert Jiwa Malaysia 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 7 September ini.