SEPANG – Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan digesa untuk mengambil peluang daripada isu akreditasi yang berlaku di Indonesia dan masalah perumahan di Australia bagi menarik minat pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata dalam konteks ini, IPT tempatan perlu sentiasa bersedia untuk menerima pelajar terutama penuntut antarabangsa dari kedua-kedua negara ini.
Beliau berkata, dengan kualiti pendidikan tinggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, IPT di Malaysia tidak menghadapi sebarang masalah dalam aspek kualiti untuk menawarkan program mereka kepada golongan yang berkenaan.
“Situasi di kedua-dua negara itu memberi peluang keemasan untuk kita terus mempromosikan pendidikan tinggi negara terutama kepada pelajar yang sebelum ini berhasrat untuk menyambung pengajian ke Australia untuk kita ‘tarik’ ke Malaysia.
“Selaku badan tunggal yang menyelia dan menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara, MQA akan menggunakan kualiti pendidikan tinggi berkualiti global sebagai ‘senjata’ atau tarikan utama kepada pelajar antarabangsa,” katanya.
Baru-baru ini, dilaporkan sebanyak 84 universiti swasta di Indonesia berkemungkinan akan ditutup kerana gagal memenuhi piawaian akreditasi, menurut Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN PT).
Institusi yang terjejas membabitkan di beberapa provinsi di Indonesia, termasuk Jawa Barat, Jakarta dan Sumatera.
Di Australia pula, kekurangan perumahan yang serius telah melanda negara itu yang sebahagian masyarakatnya menyalahkan kerajaan kerana peningkatan jumlah pelajar antarabangsa.
Kini, tindakan tegas terhadap pelajar antarabangsa menimbulkan kebimbangan meluas dalam industri pendidikan negara itu yang bernilai berbilion dolar.
Dalam langkah terbaharu kerajaan Australia untuk mengawal rekod migrasi yang melonjak sejak pandemik Covid-19, yuran visa pelajar antarabangsa meningkat lebih dua kali ganda kepada A$1,600 (US$1,068) daripada A$710 berkuat kuasa pada 1 Julai lalu, malah tiada bayaran balik jika permohonan pelajar ditolak.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, diharapkan IPT kita dapat mempromosikan program masing-masing dengan lebih angresif.
Katanya, inisiatif itu akan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa seterusnya menjayakan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
“Apa yang berlaku di Indonesia dan Australia menjadi sesuatu yang menarik perhatian MQA kerana kita tidak berkompromi tentang kualiti dan sentiasa menjaga imej pendidikan tinggi negara di mata dunia.
“MQA sentiasa meneroka kerjasama dengan agensi akreditasi luar negara, namun inisiatif itu perlu mendapat sokongan IPT kita dengan menonjolkan program pendidikan masing-masing,” katanya.