BALING – Melabuhkan tirai dengan cemerlang, The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2025 sekali lagi menjadikan Baling sebagai destinasi ekopelancongan unggul di Malaysia.

TMB100 2025 bukan sahaja menarik peminat larian denai (trail running) tempatan tetapi acara ini turut mendapat sambutan antarabangsa dengan kehadiran peserta dari Indonesia, Singapura, Argentina, Jerman, Filipina, Rusia, Sepanyol, dan Vietnam.

TMB100 yang dianjurkan setiap tahun di Baling telah menyaksikan lebih 800 peserta pada edisi pertama, dan untuk edisi ke-2 tahun ini, jumlah terus meningkat kepada lebih 1,000 peserta dari seluruh negara dan luar negara.

Acara ini menawarkan empat kategori larian iaitu 100km, 50km, 25km, dan 10km, yang memberi peluang kepada pelari dari pelbagai tahap untuk menikmati keindahan semula jadi kawasan ini.

Pemenang kategori lelaki terbuka 100km, Muhammad Asyraf Ghazali berkata, laluan 100km TMB100 tidak begitu teknikal, namun persiapan fizikal dan peralatan perlu rapi sebelum perlumbaan.

“Sentiasa berwaspada dan peka dengan lokasi kawasan rehat ‘checkpoint’ yang disediakan oleh penganjur bagi merancang pengambilan nutrisi dengan sebaiknya.

“Laluan yang ditanda rapi serta kehadiran marshal di sepanjang laluan turut membantu melancarkan larian,” katanya.

Laluan TMB100 membawa peserta merentasi pelbagai jenis landskap menakjubkan di kaki Gunung Pulai dan Gunung Baling.

Pelari melintasi sawah padi, dusun buah-buahan, Gua Tembus, dan sungai Lubuk Pedati, menawarkan pengalaman unik yang sukar didapati di tempat lain.

Bagi pelari antarabangsa kategori 100km dari Rusia, Evgenii Makarov berkata, cuaca sangat baik, dengan gerimis di awal permulaan yang menjadikan larian lebih mudah kerana suhu yang agak dingin.

“Ketika matahari terbit, kawasan diliputi kabus, menonjolkan pemandangan Gunung Baling yang sangat indah. Secara keseluruhan, pengalaman berada di Baling adalah sesuatu yang sangat menarik,” katanya.

Sementara itu, penganjur, 10 Senses (M) Sdn Bhd, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyokong acara ini, terutamanya Kerajaan Negeri Kedah dan Majlis Daerah Baling atas sumbangan dan bantuan yang diberikan.

Sokongan daripada penaja dan penglibatan krew seramai 300 orang dari komuniti setempat telah membantu menjayakan acara ini.

Sebagai inisiatif yang seiring dengan kempen Visit Kedah 2025, TMB100 bertujuan mempromosikan keindahan alam semula jadi Baling yang kurang mendapat pendedahan.

Penglibatan peserta dan pengunjung turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat, memberikan peluang kepada perniagaan kecil dan masyarakat di Baling untuk berkembang.

Acara ini juga membantu memperkenalkan produk pelancongan, perniagaan, penginapan, dan makanan tempatan yang unik kepada lebih ramai pengunjung bagi tahun Melawat Kedah tahun hadapan.

Penganjur TMB100 turut berjanji untuk membawa pembaharuan yang lebih menarik pada masa akan datang, menjadikan acara ini antara yang terbaik dalam kalendar larian denai Malaysia.

By Cynthia

Leave a Reply