KUALA LUMPUR – Sebagai persiapan menyambut Aidilfitri, ARIANI, jenama hijab dan busana terkenal, mempersembahkan koleksi terbaharu mereka, “Hikayat Ariani Karya Seindah Busana” untuk tahun 2025.
Bertempat di Grand Ballroom, Kuala Lumpur Convention Centre, pertunjukan fesyen yang penuh gemilang ini memperkenalkan pelbagai rekaan terkini hijab dan busana yang memukau, termasuk 158 daripada 600 pilihan hijab dan busana yang menonjolkan kombinasi warna, material, dan cetakan moden yang elegan.
Majlis yang dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu itu menyaksikan koleksi yang meliputi lebih 300 pilihan hijab polos dan bercorak, termasuk selendang dan tudung instant dalam material berkualiti seperti satin, voile, chiffon, dan cotton.
ARIANI turut memperkenalkan ARIANI LUXE, koleksi eksklusif dengan perincian lace Perancis dan kristal Swarovski, yang memberi sentuhan premium pada setiap rekaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ARIANI, Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip berkata, Aidilfitri adalah masa untuk meraikan kebersamaan dan keindahan dalam persalinan baju baharu.
“Baju raya adalah simbol kebahagiaan, kenangan dan momen berharga bersama keluarga.
“Tidak kira mahal atau murah, baju raya menjadi simbol
kebahagiaan dan kenangan yang memberikan nilai sentimental kepada pelanggan kami dalam menyambut lebaran.
‘Setiap busana mempunyai kisahnya sendiri,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

Satu lagi kejutan pada majlis itu adalah penampilan Rozita Che Wan (Che Ta) sebagai Muse ARIANI LUXE 2025.
Che Ta yang anggun dalam koleksi ARIANI LUXE memukau hadirin dengan gayanya yang menawan, meluahkan rasa teruja dan bersyukur menjadi sebahagian daripada keluarga besar ARIANI.
Selain hijab, ARIANI turut mempersembahkan 300,000 helai baju raya untuk Aidilfitri kali ini, termasuk kurung, jubah, kurta, dan baju melayu dengan lebih 300 rekaan terbaru dalam pelbagai saiz, bermula dari bayi hingga dewasa.
Koleksi ini tersedia dalam hampir 10 jenis material termasuk cotton, satin, dan chiffon, serta harga yang sangat berpatutan dengan kualiti yang tidak diragui.

ARIANI juga memperkenalkan beberapa selebriti popular sebagai wajah kempen Raya 2025, termasuk Datin Lisa Surihani, Uyaina Arshad, Bella Dally, dan Fyza Kadir sebagai Muse ARIANI PREMIUM.
Tidak ketinggalan, wajah-wajah baharu seperti Siti Khadijah, Siti Saleha, Amyra Rosli, Mawar Rashid, dan beberapa lagi turut menyertai kempen ini.
Pertunjukan fesyen turut dimeriahkan dengan penampilan hero-hero Malaysia seperti Dato Rahim Razali, Dato Fizz Fairuz, Edika Yusoff, dan Roy Azman dalam busana baju melayu dan kurta yang menambah nostalgia kemunculan mereka di layar perak.

Paling menarik, ARIANI turut memperkenalkan kolaborasi istimewa dengan LIBERTY LONDON, jenama fesyen mewah dari London.
Koleksi LIBERTY X ARIANI menampilkan rekaan potongan tradisional dengan corak bunga ikonik yang mengangkat nilai budaya Malaysia.
ARIANI juga berkolaborasi dengan BOKITTA dalam koleksi tudung instant edisi raya, yang akan tersedia dalam lebih 30 rekaan.
Pertunjukan fesyen ARIANI juga dimeriahkan dengan persembahan hebat oleh penyanyi-penyanyi terkenal seperti Dato’ Amy Search, Dato’ Awie, Ziana Zain, dan Dayang Nurfaizah.

Acara yang gemilang ini dianggap antara pertunjukan fesyen terbaik dan termahal yang pernah dianjurkan oleh ARIANI, yang turut dihadiri oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajjah Norashikin.
Kesemua koleksi ARIANI sempena Aidilfitri ini sudahpun dijual secara berperingkat dengan koleksi lengkap akan tersedia sempena Jualan Mega Lebaran pada 21 Februari nanti.
Jangan lepaskan peluang untuk memiliki koleksi busana dan hijab eksklusif ARIANI yang pastinya menyempurnakan gaya Raya anda.
