
KUALA LUMPUR, 4 Mei 2025 – Dalam majlis yang penuh semangat dan kebanggaan, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) secara rasmi melancarkan jersi baharu pasukan kebangsaan hasil penajaan jenama sukan terkemuka, PUMA. Pelancaran ini disempurnakan menjelang Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia yang akan berlangsung kurang dari seminggu lagi.

Presiden PSM merangkap Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Dato’ Mohd Sumali Reduan menyifatkan sokongan yang diberikan PUMA bukan sahaja tertumpu kepada pakaian sukan, tetapi turut melibatkan kasut dan peralatan sukan lain. Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Telekom Malaysia (TM) selaku rakan rasmi PSM, yang terus menyokong pembangunan sepak takraw negara.
“Jersi kali ini membawa nafas baharu dengan reka bentuk dan warna yang melambangkan kekuatan dan semangat juang. Kehadiran PUMA sebagai penaja memberikan suntikan moral yang besar kepada pemain,” katanya.
Kejohanan yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa dijangka menyaksikan sambutan hangat peminat, terutamanya apabila Malaysia dijadualkan menentang Thailand dalam acara beregu. Dato’ Sumali menyeru para penyokong agar mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan kerana kapasiti stadium sekitar 2,500 orang dijangka penuh.

Beliau turut menegaskan pentingnya sokongan padu dari penyokong tempatan dan aura kelebihan bermain di tempat sendiri, namun mengingatkan pasukan agar tidak terlalu fokus kepada Thailand sahaja, sebaliknya bersedia menentang semua pasukan termasuk Korea, Vietnam, dan Indonesia.
“Tahun ini adalah tahun ke-34 kita berusaha untuk menjulang kejuaraan acara berpasukan yang sudah lama kita dambakan. Kita perlu fokus, berdisiplin dan buktikan kita boleh lawan sesiapa sahaja,” tegas beliau.
Dalam menyentuh barisan pemain, Dato’ Sumali mendedahkan kemasukan beberapa pemain muda seperti Aman Khairul dan Ridzwan Hakim, dengan tumpuan utama kepada acara Quadran yang kini menjadi keutamaan PSM. Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat kejutan dari segi strategi dan line-up pasukan yang akan diumumkan menjelang perlawanan.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada sejarah atau reputasi. Semua bergantung kepada prestasi semasa di gelanggang. Tahun ini, kita mahu tamatkan kemarau 34 tahun dalam acara berpasukan,” katanya lagi.
Beliau menyeru semua peminat sepak takraw untuk hadir ke stadium dan memberi semangat padu kepada pasukan negara, demi menyemarakkan lagi semangat kesukanan dan mencipta sejarah di bumi sendiri.






#SepakTakrawMalaysia #PialaAsia2025 #TeamMalaysia #JersiPUMA2025 #KamiPastiBoleh #TakrawDiHatiku #SokongMalaysia #TakrawPadu #AuraStadium #Kebangkitan34Tahun