SEPANG -Persepsi masyarakat bahawa program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kelas kedua perlu diubah sejajar dengan keperluan semasa industri dan arah pembangunan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata program TVET kini setaraf dengan program akademik arus perdana, malah ada yang diiktiraf tinggi oleh majikan kerana kemahiran praktikal graduan yang dihasilkan.
Katanya, pandangan masyarakat terhadap pelajar TVET sebagai golongan kelas kedua mungkin hanya relevan pada dua atau tiga dekad lalu, namun landskap pendidikan negara dan bidang itu telah banyak berubah.
“Pada masa ini, program-program TVET bukan sahaja berada pada tahap setara dengan program akademik, malah ada situasi di mana graduan TVET lebih diutamakan majikan kerana kemahiran yang dimiliki.
“Majikan hari ini memerlukan individu yang bukan sahaja memahami teori tetapi juga berkemahiran tinggi melaksanakan tugas mengikut keperluan industri,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan TVET termasuk melalui penubuhan Majlis TVET Negara dan pelaksanaan Pelan Induk TVET Negara sebagai usaha memperkukuh ekosistem TVET di negara ini.
Katanya, universiti teknikal di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) kini turut menawarkan pelbagai program TVET berkualiti tinggi setanding program akademik tempatan dan antarabangsa.
“Pihak MQA juga komited memastikan semua program pengajian, sama ada bercirikan TVET atau akademik di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta sentiasa memenuhi piawaian kualiti diiktiraf dalam dan luar negara.
“Graduan TVET berada pada tahap setara dengan graduan program akademik selaras dengan laluan TVET berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQR).
“Mereka hanya perlu bijak memilih bidang yang sesuai dengan minat dan hala tuju kerjaya masing-masing,” katanya.