KUALA LUMPUR – Jenama kecantikan tempatan, Wawa Global Sdn. Bhd. yang diterajui pasangan selebriti popular Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, melakar pencapaian baharu apabila secara rasmi memperkenalkan tiga produk pelindung matahari terbaharu serta logo baharu syarikat.
Dalam satu majlis yang diadakan, ia menandakan permulaan kepada era baharu bagi jenama Wawa yang telah menambat hati pengguna tempatan sejak lebih tujuh tahun lalu.
Dengan pelancaran produk terbaharu ini, Wawa Global bukan sekadar memperkukuh kedudukannya dalam industri kecantikan, malah menunjukkan kesungguhan untuk terus bersaing secara profesional di peringkat global.
Tiga produk pelindung matahari yang diperkenalkan kali ini dirumus khas dengan formula mineral yang selamat dan mesra kulit, sesuai untuk kegunaan lelaki dan wanita aktif, khususnya mereka yang terdedah kepada sinaran matahari sewaktu bersukan.

Formula baharu ini memberi fokus kepada perlindungan maksimum tanpa menjejaskan keselesaan kulit satu lagi bukti terhadap komitmen syarikat dalam menghasilkan produk kosmetik berkualiti tinggi, halal dan selamat digunakan.
Sehingga kini, Sunscreen Wawa telah mencatat jualan melebihi empat juta unit, memperlihatkan tahap kepercayaan tinggi daripada pengguna.
Namun begitu, Wawa Zainal tidak menafikan terdapat pihak yang masih skeptikal terhadap kejayaan itu.
Wawa berkata, kekuatan jenama Wawa bukan terletak pada populariti semata-mata, tetapi hasil daripada usaha berterusan dalam penghasilan produk yang terbukti berkesan dan berkualiti.

“Jenama ini bukan dibina dalam sehari. Kami telah menempuh pelbagai cabaran sepanjang lebih tujuh tahun dalam industri.
“Kejayaan hari ini datang daripada kepercayaan pengguna yang tahu keberkesanan produk kami,” kata Wawa.
Sebagai langkah memperkukuh imej dan membanteras produk tiruan yang semakin berleluasa di pasaran, Wawa Global turut memperkenalkan penjenamaan semula termasuk pembungkusan baharu dan logo korporat yang lebih eksklusif.
Reka bentuk terkini menampilkan estetika yang moden dan profesional, sejajar dengan aspirasi jenama untuk tampil lebih matang dan diyakini di mata pengguna antarabangsa.
Menurut Wawa, usaha penjenamaan semula ini adalah sebahagian daripada pelaburan jangka panjang syarikat dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan setiap produk memenuhi keperluan dan kehendak pengguna moden.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah rakan kongsi utama syarikat termasuk Aeril Zafrel, Ketua Pegawai Eksekutif Umisya Mazlan dan penasihat syarikat, Aslam.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Syed Saddiq yang menyatakan sokongan terhadap inisiatif membina jenama tempatan yang mampu bersaing secara sihat di pentas global.

Wawa berkata, pihaknya berharap pelancaran ini menjadi titik tolak kepada pengukuhan jenama Wawa di peringkat antarabangsa.
“Kami percaya produk tempatan juga mampu menjadi pilihan utama dunia.
“Kami ingin buktikan Malaysia mempunyai potensi besar dalam industri kecantikan global,” katanya penuh yakin.
Dengan identiti baharu dan produk inovatif, Wawa Global kini bersedia menempuh cabaran lebih besar sambil terus mengekalkan prinsip utama menyediakan produk yang selamat, berkualiti dan diyakini pengguna.