Oplus_16908288

KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2025 – Concerned Lawyers for Justice (CLJ) menzahirkan kebimbangan serius terhadap kelemahan siasatan dalam kes kematian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang dikhuatiri dicemari oleh konflik kepentingan serta pelanggaran prosedur siasatan jenayah.

Menurut jurucakap CLJ, Nadia Abd. Aziz, siasatan polis dilihat tidak menyeluruh, dengan banyak kelemahan ketara termasuk ketiadaan kawalan perimeter “yellow tape” di lokasi kejadian, ketiadaan siasatan forensik menyeluruh (Crime Scene Investigation – CSI), serta kegagalan mematuhi prosedur “chain of custody” bukti.

“Sehingga kini, tiada bukti jelas bahawa prosedur CSI dilaksanakan di SMKA Tun Datu Mustapha, lokasi kejadian. Malah, ketiadaan perimeter kawalan membolehkan pihak ketiga memasuki kawasan itu, sekali gus meningkatkan risiko pencemaran bukti,” tegas Nadia.

CLJ juga mempersoalkan percanggahan kenyataan pihak berkuasa – termasuk daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman – yang memberi versi berbeza mengenai kemungkinan penglibatan individu berprofil tinggi.

Lebih membimbangkan, CLJ menegaskan wujud persepsi konflik kepentingan apabila Saifuddin menerima pingat kebesaran daripada Yang Dipertua Negeri Sabah hanya beberapa hari sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kes ini di Parlimen.

“Prinsip keadilan jelas menyatakan bahawa ‘justice must not only be done, but must also be seen to be done’. Apabila seorang menteri berada dalam kedudukan yang boleh menimbulkan persepsi bias, ia menggugat keyakinan awam terhadap integriti siasatan,” tambahnya.

Bagi memastikan ketelusan, CLJ menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menilai kelemahan SOP polis serta kemungkinan wujudnya pengaruh luar. Mereka turut menggesa pelaksanaan dasar pendedahan konflik kepentingan bagi menteri-menteri kabinet, khususnya apabila menerima anugerah atau penghormatan daripada pihak yang mungkin berkaitan dengan siasatan.

“Kes adik Zara Qairina bukan sekadar kes jenayah biasa, tetapi menjadi ujian besar terhadap komitmen negara dalam melindungi kanak-kanak serta menjamin integriti institusi keadilan. Keadilan untuk Zara Qairina adalah keadilan untuk semua kanak-kanak Malaysia,” kata Nadia.

#KeadilanUntukZaraQairina #JusticeForZara #IntegrityFirst #SiasatanTelus #ConflictOfInterest #GoodGovernance #KetelusanKerajaan #SuaraRakyat #ReformasiUndangUndang #AnakMalaysia

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f