SEPANG – Kepakaran yang terhimpun di institusi pengajian tinggi wajar dibawa keluar dari lingkungan akademik untuk dimanfaatkan oleh masyarakat secara lebih meluas melalui konsep doktor sosial, satu pendekatan baharu yang diperkenalkan sebagai usaha menangani isu-isu sosial dan ekonomi setempat secara lebih berkesan.

Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, doktor sosial bukan merujuk kepada pengamal bidang kesihatan, tetapi individu yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk teknikal, profesional dan vokasional yang berperanan menyumbang secara langsung kepada pembangunan komuniti, khususnya melalui program sukarelawan dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Konsep ini memberi peluang kepada individu berkemahiran untuk berperanan sebagai agen pemudah dalam menyelesaikan cabaran masyarakat, contohnya dalam bidang pemasaran, pendidikan, atau kemahiran asas seperti membaiki motosikal dan kenderaan ringan,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Majlis Penasihat Industri Politeknik (MPIP) 2025.

Menurut beliau, kerjasama antara pakar dan masyarakat mampu memberikan impak besar jika digerakkan secara sistematik, terutamanya dalam membantu golongan yang terpinggir atau berhadapan dengan kekangan akses kepada kemahiran dan sumber ekonomi.

“Bayangkan sekiranya pakar pemasaran dari universiti membantu komuniti luar bandar memasarkan produk tempatan mereka, atau pensyarah kejuruteraan menjalankan bengkel membaiki peralatan asas kepada belia luar bandar ini semua bentuk sumbangan doktor sosial yang amat diperlukan,” katanya.

Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) turut menekankan pentingnya pendekatan ini diterapkan di universiti-universiti dan institusi pengajian tinggi seluruh negara, bagi memastikan hubungan antara akademia dan masyarakat tidak terpisah.

“Universiti tidak boleh dilihat sebagai sebuah pulau yang terasing daripada realiti kehidupan masyarakat.

“Sebaliknya, kita perlu membuka sempadan ilmu kepada komuniti luar agar mereka turut sama dapat menikmati manfaat daripada kepakaran yang tersedia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kelebihan dengan jumlah institusi pengajian tinggi yang besar termasuk 20 universiti awam dan lebih 300 institusi swasta yang menyimpan ribuan tenaga akademik dan profesional dalam pelbagai bidang.

Potensi ini harus digembleng bagi merapatkan jurang pengetahuan dan kemahiran antara masyarakat bandar dan luar bandar.

“Jika seluruh tenaga ini digerakkan ke arah membina masyarakat yang berilmu dan berkemahiran, kita bukan sahaja menyelesaikan masalah sedia ada, malah menyediakan landasan kukuh untuk pembangunan negara secara inklusif,” katanya.

Beliau turut menggesa agar tanggungjawab melahirkan doktor sosial tidak dipikul oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya disambut oleh sektor swasta, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan serta individu-individu yang mempunyai kepakaran tertentu.

“Doktor sosial adalah wajah baharu kepada usaha membina masyarakat yang mampan yang bukan sekadar menunggu bantuan, tetapi turut dibimbing untuk berdikari dan memajukan diri. Konsep ini harus diarusperdanakan,” katanya.

Dengan pendekatan ini, Malaysia diyakini mampu melahirkan masyarakat yang lebih celik kemahiran dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan melalui sokongan komuniti pakar yang dekat dengan kehidupan seharian mereka.

By Cynthia

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f