
KUALA LUMPUR, 16 November 2025 — Seorang lelaki warga Malaysia, En. Rao, yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Poipet, Cambodia akhirnya berjaya dibawa pulang selepas mengalami penyeksaan fizikal dan mental yang menyayat hati.
Menurut Setiausaha Agung MHO Dato’ Hishamuddin Hashim, kes ini mula dikesan selepas keluarga mangsa tampil membuat aduan bahawa anak saudara mereka telah dijanjikan pekerjaan di sebuah kasino di Laos, namun secara tiba-tiba dibawa ke Cambodia dan kemudian dihantar kembali ke Laos.
Sindiket kemudiannya menghubungi keluarga dan meminta wang tebusan sebanyak RM30,000 untuk membebaskan mangsa.
“Kita nasihatkan keluarga supaya jangan bayar kerana risiko ditipu sangat tinggi,” kata Hishamuddin dalam sidang media tersebut. Selepas maklumat disalurkan kepada Encik Azrul Syafiq dan diselaraskan bersama pihak berkuasa Cambodia, dua daripada enam mangsa berjaya dibebaskan.
En. Rao turut berkongsi pengalaman ngerinya. Menurutnya, dia dipaksa berdiri dari pagi hingga malam, diikat dalam posisi kepala ke bawah dan kaki ke atas, serta diletakkan dalam bilik gelap selama beberapa jam.
“Saya digantung terbalik satu setengah hari. Mata buka, baju buka. Nyamuk gigit seluruh badan. Sampai sekarang badan saya masih lemah,” katanya dalam keadaan sebak.
Beliau menjelaskan dia pada mulanya dijanjikan kerja kasino oleh seorang kenalan dari Johor, namun setelah tiba, semua kontak telefonnya dipadam. Sindiket kemudian memaksa keluarganya membayar wang tebusan untuk membebaskannya.
En. Rao menasihatkan rakyat Malaysia agar berhati-hati dengan tawaran kerja di luar negara, khususnya di Cambodia, Laos dan kawasan Poipet.
“Jangan percaya cakap kawan-kawan. Siasat betul-betul sebelum pergi. Makanan teruk, tempat tak bersih, tidur pun tak boleh. Jangan ulang kesilapan saya,” katanya.
Hishamuddin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Cambodia dan semua yang terlibat dalam proses membawa pulang mangsa.
Misi menyelamat ini masih diteruskan kerana dipercayai ramai lagi rakyat Malaysia terperangkap dalam skim pekerjaan palsu dikendalikan sindiket antarabangsa.
#AATVNews #SelamatkanMangsa #AntiPemerdaganganManusia #Poipet #SindiketScam
