OLEH: SHAHBUDIN EMBUN
ADAKAH adil jika dikatakan yang rata-rata masyarakat di Malaysia hari ini bukanlah sebuah masyarakat yang suka membaca. Pastinya ramai yang tidak bersetuju dengan apa yang dinyatakan ini.
Namun hakikatnya, jika kita lihat sekeliling, ramai yang menghabiskan masa dengan bermain ‘game’ di telefon pintar atau melayari pelbagai perkara di media sosial berbanding dengan membaca.
Satu ketika dahulu, ia adalah satu pemandangan atau keadaan yang biasa kita lihat, apabila ada orang membaca buku, majalah atau akhbar sambil menunggu bas. Hari ini, mungkin mereka masih membaca, tetapi semuanya melalui paparan skrin telefon bimbit.
Bagi mereka yang masih menjadikan membaca sebagai satu amalan, pastinya dapat membezakan kenikmatan membaca dengan memegang buku dibandingkan melayari di telefon bimbit.
Dan betapa ramai di antara kita yang masih berasa teruja apabila membeli buku di kedai buku? Mungkin bilangannya makin berkurangan. Dan tidak hairanlah apabila kita lihat banyak syarikat buku yang terpaksa gulung tikar dan menutup kedai di beberapa gedung perniagaan.
Satu lagi persoalan yang ingin saya utarakan ialah berapa ramai di antara kita memanfaatkan sepenuhnya kemudahan awam di perpustakaan, yang merupakan gedung mencari ilmu.
Saya yakin, bilangan ini masih ramai, tetapi kebanyakannya dipenuhi oleh para pelajar yang menggunakan perpustaan untuk belajar. Dan sebaik sahaja peperiksaan tamat, adakah mereka kembali ke perpustaan untuk terus menimba ilmu?
Melalui bacaan, bukan sahaja kita dapat menimba ilmu, tetapi juga mendidik minda untuk berfikir secara kritis dalam beberapa isu. Membaca dengan minda yang terbuka dan kritis, dapat melatih minda untuk menilai apakah yang dibaca itu sesuatu yang berfaedah.
Perlu diingatkan bahawa masyarakat yang suka membaca merupakan masyarakat yang maju akal fikirannya.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Semasa berucap, beliau menyeru anak muda agar bangkit menyelamatkan Malaysia dengan ilmu, kesedaran dan semangat melalui budaya membaca.
Anwar turut menyeru warga pendidik dan ibu bapa memberikan penekanan yang lebih serius pada budaya membaca, iaitu sejak dari peringkat awal lagi.
Saranan ini sangat penting kerana kita sendiri boleh saksikan bahawa minat membaca semakin menghadapi cabaran dengan kewujudan media sosial yang semakin meluas.
Sebenarnya sebelum ini pun Anwar telah beberapa kali mengingatkan masyarakat tentang pentingnya membaca. Pada tahun lepas, Anwar pernah menegaskan bahawa budaya membaca perlu dipupuk terutama dalam kalangan generasi muda dan dalam hal ini, karya-karya besar perlu ditelaah oleh golongan berkenaan supaya dapat mencambah daya fikir yang kritis.
Kita ingin melahirkan masyarakat yang berilmu dan Anwar terus menegaskan bahawa negara ini harus diangkat menjadi negara madani yang ada ilmu, yang ada nilai, dan ihsan serta rahmah. Dan pastinya semua ini boleh dipupuk melalui semangat membaca dan menimba ilmu.
Penulis adalah Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan Majlis Perundingan Melayu (MPM)
- UtusanTV –