editor@aatvnews.com.my

KUALA LUMPUR – Penyanyi berasal dari Korea, Han Byul tidak dapat menyertai Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia yang berlangsung hari ini dan esok malam.

Berita itu disampaikan oleh penganjur konsert yang menyatakan ia kerana masalah Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar negara (PUSPAL) sehingga juara Big Stage musim ke-2 itu gagal untuk berada di atas pentas seperti yang dijadualkan.

Han Byul sepatutnya menyanyikan dua buah lagu iaitu Winter Sonata dan Cinta Abadi dalam versi keroncong dalam konsert yang dianjurkan oleh Irama Studios ini.

Konsert yang berlangsung pada hari ini, 5 Ogos dan 6 Ogos di Istana Budaya itu berhadapan dengan masalah permohonan dan kelulusan dari pihak PUSPAL .

Mewakili Irama Studios, Nazrul Asraf Mahzan berkata, pihak mereka berurusan dengan JBH Event untuk segala urusan Han Byul termasuk urusan PUSPAL.

“Han Byul adalah salah satu tarikan untuk konsert ini dan kami pasti peminat menantikan penyanyi luar untuk menyanyi serta menghargai muzik dan irama tanah air kita.

“Malah Han Byul dilihat memberikan komitmen terhadap konsert ini. Adalah menjadi satu cabaran dan kesulitan buat penganjur apabila PUSPAL tidak melepaskan kelulusan untuk Han Byul sedangkan dia mempunyai peminat yang tersendiri di Malaysia di samping rekod yang bersih.

“Tambahan pula, Han Byul adalah juara program Big Stage yang turut dianjurkan di Malaysia,” katanya.

Katanya, sayang sekali peluang untuk memperkenalkan Irama Warisan Keroncong Malaysia ke peringkat Antarabangsa dan dinyanyikan oleh penyanyi berbangsa Korea yang juga pemenang Program Big Stage di Malaysia terbeku begitu sahaja dan ditolak sebarang rayuan oleh Puspal.

“Sedih dan ralat dengan ujian yang dihadapi saat akhir ini, saya berharap peminat Han Byul dapat memahami situasi yang dihadapi oleh penganjur selepas segala inisiatif dan upaya telah dilakukan.

“Kami juga berharap peminat terus memberikan sokongan terhadap konsert yang mengangkat muzik keroncong sehingga dijadikan satu konsert khas atas nama irama itu sendiri.

Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia turut diserikan dengan persembahan Datuk Yusni Hamid, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie dan Datin Alyah.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran pelapis-pelapis generasi baru iaitu Rasyidah Abd Rahim (Bintang Klasik 2012), Rizal Ahmad (Juara Bintang Nostalgia 2013) dan Jamilah Abu Bakar (Puteri keroncong).

By Cynthia

Leave a Reply