editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Memasuki tahun ke-9 penganjurannya, Anugerah Telenovela (ATN9) kali ini fokus dalam kategori mempopularkan artis yang bertanding.

Dijangka berlangsung Disember ini, kategori yang akan diberi fokus ialah anugerah popular antaranya artis popular, pasangan popular, novel popular dan telenovela popular.

Selaku penganjur, Pengarah Eksekutif Intact Media, Rishi Ross berkata, ini adalah kelainan yang pertama kali dibuat untuk anugerah ini dalam usaha mengajak orang ramai memartabatkan industri seni.

“Kami lakukan banyak perubahan dan kelainan ini bagi menarik lebih ramai penonton untuk sama-sama menyertai undian ATN9.

“Konsep undi kali ini kami buat undi sambil menderma malah dengan setiap undian penonton layak memenangi banyak hadiah dan hadiah utama.

“Setiap sumbangan undian akan dimasukkan ke Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan diberi juga kepada penulis baharu,” katanya pada majlis pelancaran ATN9 baru-baru ini.

Rishi berkata, pihaknya sangat berharap mendapat sokongan daripada semua pihak bagi memastikan ATN9 kali ini berjaya dan menepati sasarannya.

“Ini adalah kali pertama kami diberi tanggungjawab menganjurkan anugerah seumpama ini dan pastinya kami mahukan kelainan dan sesuatu yang menarik untuk disajikan kepada penonton,” katanya.

ATN9 adalah majlis anugerah tahunan yang diadakan sebagai penghormatan dan penghargaan kepada penulis, penerbit, pembuat filem, dan profesional audio Malaysia.

Anugerah ini diadakan sebagai pengiktirafan kepada pekerja industri kreatif yang telah berjaya mengadaptasi karya dari buku dalam format cetakan atau elektronik ke dalam medium skrin dan audio visual.

Untuk layak menerima anugerah tahun ini, semua karya harus diterbitkan antara Januari dan Disember 2022 dan ditayangkan di televisyen sama ada melalui stesen satelit atau televisyen percuma.

Kategori utama popular itu disertai oleh lebih 40 pencalonan bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Anugerah akan diberikan untuk adaptasi terbaik, skrip, persembahan lelaki/wanita, penulis skrip, pengarah, pencahayaan, dan banyak lagi.

Selain itu, mengikuti pengiktirafan UNESCO terhadap Kuala Lumpur sebagai “World Book Capital 2020”, YPBN dengan sukacitanya mengumumkan satu Kategori Khas KLWBC 2020 akan diperkenalkan.

Kategori Khas ini akan memberikan pendedahan bakat-bakat Malaysia di peringkat antarabangsa dan bertujuan untuk menginspirasi bakat-bakat tempatan untuk bersaing di

pentas dunia.

Selain daripada anugerah tempatan, Anugerah Telenovela bertujuan untuk mengembangkan sayapnya bagi bersaing dalam kategori Telenovela Antarabangsa Terbaik, badan antarabangsa yang mengiktiraf kecemerlangan dan kraftangan dalam telenovela yang dihasilkan dan disiarkan oleh pengeluar drama dan filem di seluruh dunia.

Dalam pada itu, satu platform turut diperkenalkan iaitu  ‘KataKita’ yang juga laman web khas bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama individu dalam industri kreatif seni di Malaysia yang ingin menyampaikan idea, membahas dan mempersembahkan karya-karya mereka.

Di sini, ia memberi ruang kepada penggemar seni tanah air dan juga luar negara untuk berhubung dan secara tidak rasminya memaparkan bakat yang ada.

By Cynthia

Leave a Reply