KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah memberi bantuan dan sumbangan kepada warganya sebanyak RM130 juta dari 2015 hingga 2022.
Pengarah Eksekutifnya, Abdul Rahman Siraj berkata kebanyakan diberikan dalam bidang pesat seperti pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi.
Beliau juga berkata selain itu, YWP turut aktif dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir dan bencana alam.
“Ketika Covid-19 dulu, YWP turut membantu dalam memberi vaksin kepada warga Wilayah Persekutuan (WP).
“YWP juga membantu dari segi kemudahan kepada pelajar sekolah, biasiswa dan pinjaman diberi kepada anak-anak warga kota yang cemerlang. Yang paling terbesar kita bagi seperti makanan kepada anak-anak warga WP yang susah disekolah-sekolah,” katanya kepada AATV News.
Abdul Rahman berkata YWP telah ditubuhkan sejak 1980 an dan tujuannya adalah untuk membantu warga Wilayah Persekutuan iaitu di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Tambah Abdul Rahman, YWP turut membantu 5,000 pelajar di WP dengan pemberian makanan percuma setiap hari persekolahan.
Beliau berkata ini melibatkan perbelanjaan dalam RM2 juta setahun.
Sementara itu, beliau turut berkongsi bantuan lain yang diberikan YWP iaitu antaranya menyediakan pusat komuniti dinamakan RNR iaitu “Relaks And Riadah” untuk anak-anak warga WP di pusat-pusat Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Beliau berkata di RNR itu, anak-anak di PPRT boleh menjadikan sebagai tempat belajar, main komputer dan membaca akhbar.
“Ia dijadikan seperti perpustakaan. Ibu atau penduduk disitu juga boleh guna tempat itu untuk mengaji Al-Quran, tempat mesyuarat dan sebagainya,” katanya.
Abdul Rahman berkata pusat RNR itu kini mempunyai 10 buah dan YWP merancang untuk menambah empat lagi pada tahun hadapan.
“Tahun depan juga pertama kali nak buat taska untuk membolehkan anak-anak kecil dalam keluarga berpendapatan rendah (B40) boleh dididik dengan bayaran minuman.
“Bergantung kepada kewangan kita dapat. Kalau dapat banyak ‘sponsorship’, lagi kurang kadar bayaran bulanan. Kalau taska biasa dalam RM300 ke RM400,” katanya.
Selain itu Abdul Rahman berkata satu program terbesar dilaksanakan YWP adalah program perumahan untuk rakyat B40.
Beliau berkata YWP ada 6,000 unit PPRT disediakan untuk disewakan kepada penghuni yang memerlukan.
“Sewa dalam RM250 hingga RM350. Bergantung kepada saiz rumah dan sebagainya,” katanya.